Friday, June 26, 2009

Apoi, Udin & Syafiq

Saya menyewa di sebuah taman perumahan bersama-sama member sekelas. Rumah disebelah kiri rumah saya cukup misteri. Kami tidak pernah bertegur sapa. Jarang sekali dapat bersua muka. manakala rumah disebelah kanan didiami oleh sebuah keluarga Melayu. Selang sebuah rumah sebelah kanan juga didiami oleh sebuah keluarga Melayu.

Beberapa bulan yang lepas, beberapa petang yang kami rasa larat, kami akan sarungkan kasut sukan, dengan sebiji bola sepak takraw yang 'dipinjam', kami menyepak bola tersebut dihadapan rumah.

Petang-petang yang begitulah yang membuatkan saya kenal dengan Apoi dan Udin. Apoi, anak jiran yang selang satu rumah sebelah kanan. Udin, anak jiran rumah sebelah kanan. Keduanya masih di sekolah rendah.

*****

Antara hobi saya ialah membela ikan. Beberapa ketika selepas mendiami rumah sewa, saya membeli sepasang ikan gapi. Malangnya beberapa hari kemudian ikan tersebut mati. Tak berputus asa, saya beli lagi ikan gapi, kali ini, 3 ekor, seekor jantan dan dua betina. Ikan-ikan tersebut membiak dengan cepatnya, hingga ketika ini lebih 20 ekor anak ikan yang berjaya dihasilkan.

*****

Bermula dari petang-petang, saya mulai rapat dengan Apoi dan Udin. Mereka selalu ke rumah kami. Sembang-sembang dan tonton TV. Mereka juga melihat ikan gapi yang saya letak di ruang tamu. Biasalah bagi budak-budak, membela ikan adalah satu aktiviti yang agak best. Saya hadiahkan diorang beberapa ekor ikan gapi.

"Abang boleh bagi ikan gapi ni, tapi malam ni datanglah mengaji Al-Quran dengan abang"

Bermulalah sebuah episod pentarbiyahan.

******

Bermula sebulan yang lalu, gasing merupakan satu fenomena di taman kami. Apoi dan Udin juga bermain gasing. Petang-petang selepas pulang dari sekolah, mereka berdua bermain gasing di halaman rumah saya. 3 petang yang lepas, ada seorang lagi anak jiran yang join diorang main gasing di halaman rumah saya. Anak jiran selang 3 buah rumah di hadapan rumah saya. Namanya Syafiq. Juga adik-adiknya, Alia, Husna dan Syamimi.

Juga 2 ekor ikan gapi saya bertukar tangan, hadiah untuk Syafiq. Apoi juga mahukan 2 ekor lagi. Udin juga mahu 2 ekor. Sekarang ikan gapi saya cuma ada berbelas ekor.

*****

Beberapa malam ini saya maghrib berjemaah bersama mereka. Seusai doa, mereka akan buka Quran yang dibawa, menghadap saya untuk dibimbing membaca Kalamullah.

Saya panjatkan doa agar anak-anak kecil ini suatu hari nanti bisa menjadi mujahid Islam...

Akhtar Syaheed: Antara Harapan dan Mimpi

Akhtar Syaheed...
satu nama yang bakal di ukir,
permata hati ayah bonda.

Akhtar Syaheed...
hadirmu bakal dinanti penuh harapan,
penawar duka abi dan ummi.

Akhtar Syaheed...
antara harapan dan mimpi,
antara senyum dan tangis,
antara bahagia dan duka.

Akhtar Syaheed
Namamu diukir penuh makna,
disemat rapi di ruang hati.

Akhtar Syaheed...
Namamu seutuh perjuangan,
yang tidak pernah terhenti,
buat selamanya.

Rasa Hati

Dunianya sudah tiada warna ,
tiada lagi biru lembut langit tinggi,
tiada lagi hijau luas padang rumput,
tiada lagi putih bersih awan suci .

Hatinya sudah tiada,
dibawa pergi entah kemana.

Hening subuh itu,
dia angkat kedua tangan,
meminta,
merintih,
merayu,
mohon kasihan dan belas,
dari Pencipta segalanya.

Suaranya lirih:
"Ya Allah, sesungguhnya Kau amat mengetahui rasa hati ini,
jadi aku serahkan segalanya padaMu hidupku ini"

Cerita dari Angin: Sebuah Mitos. Siri 2

"Dato, perkara ni kita boleh bincang", Mat cuba mengawal keadaan.

"Kamu mengaku je apa yang kamu dah lakukan", Dato PK terus mendesak.

"Saya sedia berbincang dengan Dato, perkara ni boleh diselesaikan", Mat terus melontarkan idea yang sama.

"Baiklah, kamu datang jumpa saya sekarang!. Bawa Fahri sekali. Saya akan hantar kenderaan untuk jemput kamu!" Dato PK bersuara tegas.

"Nanti saya bawa Fahri sekali. Saya boleh pergi sendiri, Dato. Tak perlu hantar kenderaan untuk jemput saya". Mat memberikan persetujuan. Dia mahu memandu sendiri ke pejabat Dato', nanti senang kalau terjadi apa-apa.

Terjadi apa-apa?

Mat segera hubungi Fahri. Tanpa bertangguh dia pecut kereta ke Pangsapuri Melor. Ambil Fahri kemudian terus menghala ke pejabat Dato PK.

Lebih kurang jam 10 malam Mat tiba di pondok pengawal kampus.

"Dato mahu jumpa", ringkas sahaja Mat beritahu pada pengawal. Tanpa banyak soal pengawal membenarkan kereta Mat melepasi kawalan keselamatan.

Selesai 'parking' kereta, Mat ke tingkat dua. Pejabat Dato PK.

Setengah jam menunggu, barulah Dato PK muncul, di iringi beberapa pegawai yang setia. Beberapa orang pimpinan Majlis Pemimpin Mahasiswa juga ada. Juga beberapa wajah yang tidak dikenali.

Dato PK masuk ke bilik mesyuarat utama. Semua orang mengekori. Masing-masing seperti faham, tanpa disuruh oleh Dato PK, mengambil tempat mengikut keselesaan sendiri. Dato PK berdehem kecil sebagai tanda ingin memulakan sesi.
"Siapa Mat?" tanya Dato PK sebaik sahaja duduk di kerusi hadapan.

Mat angkat tangan kanan dengan penuh yakin. Semua mata di dalam bilik berhawa dingin itu memandang Mat. Mat masih tenang. Dato PK kelihatan mengangguk-angguk.

"Sebelum kita mulakan sesi ini, saya minta semua yang ada tolong serahkan semua telefon bimbit kamu kepada pegawai keselamatan", Dato memberikan arahan yang tidak boleh ditolak ansur.

"Saya nak pastikan apa yang dibincang dalam bilik ini tidak tersebar ke luar. Kita sedang cakap dalam ini, berita dah sampai ke luar. Inilah cara yang dilakukan, iaitu menggunakan SMS, semasa peristiwa pemecatan Anuwar, bekas Timbalan Perdana Menteri negara Antah Berantah suatu ketika dahulu", Dato PK cuba memberikan rasional di sebalik arahan tadi.

Semua orang secara automatik berdiri lalu menyerahkan telefon bimbit masing-masing kepada pegawai keselamatan. Yang ada dua telefon bimbit, letak dua, yang ada satu, letak satu.

Mat seluk tangan dalam poket seluar sebelah kanan. Mat ambil Nokia, cepat-cepat Mat buka penutup belakang telefon bimbit. Mat cabut bateri. Mat ambil kad sim. Mat simpan kad sim dalam poket seluar. Mat pasang balik bateri dan penutup belakang telefon bimbit. Mat letak telefon bimbit Mat sebaris dengan telefon-telefon bimbit yang lain.

"Mat, kamu dah letak telefon bimbit kamu? Satu je?" soal Dato secara tiba-tiba.

"Dah, saya ada satu je telefon bimbit". Mat menjawab tenang soalan berunsur curiga Dato.

"Kita akan mulakan sesi ini dengan latar belakang Mat. Mat, tolong terangkan latar belakang kamu, pendidikan kamu, pekerjaan ibubapa kamu dan apa sahaja yang difikirkan perlu", Dato PK memberikan arahan yang mesti dilakukan. Ini jajahan takluknya, mana ada yang berani membantah.

Mat membetulkan duduk. Dia menarik nafas panjang. Cuba untuk mengawal getar suara. Semua orang menanti patah perkataan yang bakal keluar dari mulutnya.

bersambung...

Thursday, June 18, 2009

Al Fatihah

Al Fatihah untuk pejuang besar, Syeikh Dr Fathi Yakan, yang telah kembali ke rahmatullah pada pukul 4.45 petang, 13 Jun 2009 di Hospital Otel Deo, Beirut, Lubnan. Pemergian beliau merupakan satu kehilangan yang cukup dirasai oleh dunia Islam, khasnya Jemaah Islam. Sumbangan beliau cukup besar unuk perjuangan umat Islam. Beliau meninggalkan beberapa hasil tulisan yang cukup bermanfaat untuk ahli-ahli jemaah Islam antaranya "Apa ertinya Saya Menganut Islam", Masalah Dakwah dan Pendakwah" serta "Persepsi Haraki dalam Kerja-kerja Islami".

Saya mula "mengenali" Syeikh Fathi Yakan melalui bukunya " Apa ertinya saya menganut Islam" semasa berusia 15 tahun setelah diperkenalkan oleh Ustaz Mujiburrahman Ahmad Hafiz.

Semoga Allah merahmati roh Almarhum Dr Fathi Yakan dan menempatkan beliau di syurga bersama para Rasul dan para pejuang Islam.
Al Fatihah...


Al Fatihah ( Datuk Saya)

Al Fatihah ( Datuk Saya)