Friday, June 26, 2009

Cerita dari Angin: Sebuah Mitos. Siri 2

"Dato, perkara ni kita boleh bincang", Mat cuba mengawal keadaan.

"Kamu mengaku je apa yang kamu dah lakukan", Dato PK terus mendesak.

"Saya sedia berbincang dengan Dato, perkara ni boleh diselesaikan", Mat terus melontarkan idea yang sama.

"Baiklah, kamu datang jumpa saya sekarang!. Bawa Fahri sekali. Saya akan hantar kenderaan untuk jemput kamu!" Dato PK bersuara tegas.

"Nanti saya bawa Fahri sekali. Saya boleh pergi sendiri, Dato. Tak perlu hantar kenderaan untuk jemput saya". Mat memberikan persetujuan. Dia mahu memandu sendiri ke pejabat Dato', nanti senang kalau terjadi apa-apa.

Terjadi apa-apa?

Mat segera hubungi Fahri. Tanpa bertangguh dia pecut kereta ke Pangsapuri Melor. Ambil Fahri kemudian terus menghala ke pejabat Dato PK.

Lebih kurang jam 10 malam Mat tiba di pondok pengawal kampus.

"Dato mahu jumpa", ringkas sahaja Mat beritahu pada pengawal. Tanpa banyak soal pengawal membenarkan kereta Mat melepasi kawalan keselamatan.

Selesai 'parking' kereta, Mat ke tingkat dua. Pejabat Dato PK.

Setengah jam menunggu, barulah Dato PK muncul, di iringi beberapa pegawai yang setia. Beberapa orang pimpinan Majlis Pemimpin Mahasiswa juga ada. Juga beberapa wajah yang tidak dikenali.

Dato PK masuk ke bilik mesyuarat utama. Semua orang mengekori. Masing-masing seperti faham, tanpa disuruh oleh Dato PK, mengambil tempat mengikut keselesaan sendiri. Dato PK berdehem kecil sebagai tanda ingin memulakan sesi.
"Siapa Mat?" tanya Dato PK sebaik sahaja duduk di kerusi hadapan.

Mat angkat tangan kanan dengan penuh yakin. Semua mata di dalam bilik berhawa dingin itu memandang Mat. Mat masih tenang. Dato PK kelihatan mengangguk-angguk.

"Sebelum kita mulakan sesi ini, saya minta semua yang ada tolong serahkan semua telefon bimbit kamu kepada pegawai keselamatan", Dato memberikan arahan yang tidak boleh ditolak ansur.

"Saya nak pastikan apa yang dibincang dalam bilik ini tidak tersebar ke luar. Kita sedang cakap dalam ini, berita dah sampai ke luar. Inilah cara yang dilakukan, iaitu menggunakan SMS, semasa peristiwa pemecatan Anuwar, bekas Timbalan Perdana Menteri negara Antah Berantah suatu ketika dahulu", Dato PK cuba memberikan rasional di sebalik arahan tadi.

Semua orang secara automatik berdiri lalu menyerahkan telefon bimbit masing-masing kepada pegawai keselamatan. Yang ada dua telefon bimbit, letak dua, yang ada satu, letak satu.

Mat seluk tangan dalam poket seluar sebelah kanan. Mat ambil Nokia, cepat-cepat Mat buka penutup belakang telefon bimbit. Mat cabut bateri. Mat ambil kad sim. Mat simpan kad sim dalam poket seluar. Mat pasang balik bateri dan penutup belakang telefon bimbit. Mat letak telefon bimbit Mat sebaris dengan telefon-telefon bimbit yang lain.

"Mat, kamu dah letak telefon bimbit kamu? Satu je?" soal Dato secara tiba-tiba.

"Dah, saya ada satu je telefon bimbit". Mat menjawab tenang soalan berunsur curiga Dato.

"Kita akan mulakan sesi ini dengan latar belakang Mat. Mat, tolong terangkan latar belakang kamu, pendidikan kamu, pekerjaan ibubapa kamu dan apa sahaja yang difikirkan perlu", Dato PK memberikan arahan yang mesti dilakukan. Ini jajahan takluknya, mana ada yang berani membantah.

Mat membetulkan duduk. Dia menarik nafas panjang. Cuba untuk mengawal getar suara. Semua orang menanti patah perkataan yang bakal keluar dari mulutnya.

bersambung...

No comments:

Post a Comment


Al Fatihah ( Datuk Saya)

Al Fatihah ( Datuk Saya)