Friday, September 11, 2009

Cerpen Revolusi Versailles


Aku masukkan cerpen ni sebagai memenuhi permintaan Lebai Awang. Gambar tu adalah Ghafirah Idris, penulis cerpen ni. Cerpen ni pernah disiarkan dalam Berita Minggu 23 Mei 2004.

******

Tudung Turki tenunan sutera yang kau hadiahi padaku kala pemergianmu melanjutkan pelajaran ke bumi Jordan kini menutupi rambut perangku, Uzair. Sudah kutinggalkan jeans dan blaus sendat yang pernah menjadi pakaian harianku suatu ketika dahulu. Jilbab dan hijab kini melabuhi tubuhku. Kiranya kau masih ingat, aku pernah berkata bahawa pakaian yang sedang kupakai hari ini hanyalah pakaian tradisi masyarakat Arab. Jumud dan kolot! Lalu aku tidak pernah mengakui hijab merupakan suruhan Allah dan kewajipan mutlak atas kaum wanita. Ah! Aku terlalu ego ketika itu. Lantas aku terpempan hina dek kejahilan sendiri.


Aku mengutusi marsum maya ini dari Paris, tanah kelahiran babaku. Ya! Aku kini tidak lagi berjejak di bumi Malaysia yang pernah menemukan kau dan aku. Aku pulang ke sini bersama baba dan mamaku sekitar Disember lepas. Ya! Ketika itu Perancis digegarkan dengan pernyataan Presiden Perancis, Jacques Chirac pada 17 Disember untuk menyokong pengharaman tudung ke atas pelajar-pelajar seluruh institusi pendidikan di Perancis. Maaf! Terlalu lama tidak mengutusi khabar buatmu hatta aku sudah hampir 5 purnama di sini. Hubungan kita kian renggang sejak kau ke Jordan. Aku tidak tahu mengapa. Mungkin kau terlalu makan hati dengan sikap egoku dulu atau seboleh-bolehnya kau mahu melupakan gadis ini terus. Ah! Maafkan aku, Uzair.


Kau tentu kehairanan bagaimana mamaku bisa bersetuju untuk berhijrah ke sini. Datuk dan nenekku meninggal dalam kecelakaan jalan raya Aidilfitri lepas. Lalu mamaku yang merupakan anak tunggal terpaksa akur dengan keputusan baba untuk pulang ke Paris. Kau tahu, Uzair. Aku menangis semahu-mahunya saat kali terakhir aku mendatangi Pantai Cahaya Bulan sebelum aku berangkat meninggalkan Malaysia. Ya! Butiran pasir dan desiran ombak di pantai indah nian itu saksi pertemuan kau dan aku. Kala itu kau sedang asyik merakam keindahan alam ciptaan Tuhan melalui lensa kameramu hinggalah tiba-tiba kehangatan terik mentari menyerap segala tenagaku dan aku jatuh pengsan hampir denganmu. Lalu pertemuan tidak terduga itu membuahkan bibit-bibit manis dalam kamus hidupku dan kita semakin akrab selepas itu.


Aku jadi kaget saat kau mula bersuara tentang hijab, jilbab dan aurat. Kau memintaku meninggalkan jeans, blaus sendat dan skirt pendek yang sememangnya sudah menjadi pakaian harianku sedari kecil. Tidak cukup dengan itu, kau hadiahiku sehelai tudung Turki tenunan sutera dan sehelai jilbab merah hati kala ulangtahun kelahiranku yang ke-26. Ya! Tudung Turki itu yang sedang menutupi rambut perangku hari ini, Uzair.


“Kau tiada hak untuk mengubah cara hidup dan pendirianku! Hatta baba dan mama jua tidak pernah menegurku, inikan pula kau yang begitu asing!” Kata-kata itu pernah meluncur laju dari bibirku dan air matamu begitu murah mengalir untukku hari itu. Ah! Maafkan aku Uzair. Maafkanku kerna suatu masa dulu aku begitu jahil. Terlalu!.


Di tengah-tengah bahang kehangatan pengharaman tudung oleh kerajaan Perancis ke atas pelajar-pelajar di seluruh institusi pendidikan di Perancis, aku kini sibuk menulis liputan tentang isu ini di majalah Le Monde terbitan syarikat babaku. Usah kau kehairanan. Aku kini giat menyertai perarakan demostrasi jalanan bersama rakan-rakan Muslim dan Muslimahku, membantah keputusan Presiden Perancis, Jacques Chirac yang menyokong larangan kerajaan terhadap pemakaian tudung di institusi pendidikan seluruh Perancis. 22 Disember lepas, hampir 3000 masyarakat Islam di sini menyertai perarakan membantah pengharaman tudung ini.


Bersama marsum maya ini kuutusi gambar maya diriku dan sahabatku, Taqwa. Taqwa Djamila, seorang perawan manis dari bumi Isra’ Mikraj. Taqwa merupakan koresponden Majalah Jihad di Palestin, membuat liputan tentang isu pengharaman tudung di Perancis. Dialah yang mengubah Fatima Boicha yang agresif dan prejudis terhadap Islam hingga menjadi Fatima Boicha yang sedang berbicara denganmu lewat marsum maya ini. Aku bersyukur ketemu dirinya, Uzair. Dia merupakan anugerah terindah dalam hidupku selepas dirimu.


Aku dan Taqwa berkenalan di perkarangan Chateau De Versailles, Istana Versailles. Kala itu aku datang berlibur menyaksikan keindahan kota Versailles dan Taqwa mencari bahan untuk majalahnya. Sungguh! Versailles sebuah istana nan indah dan mewah. Istana ini menjadi kebanggaan Perancis dan Versailles menjadi pusat pemerintahan Perancis kala pemerintahan Louis XVI. Namun sistem monarki Perancis berakhir ketika Revolusi Perancis pada Oktober 1789 apabila Louis XVI dan isterinya Marie-Antoinette terpaksa tunduk kepada kemarahan orang awam yang melarat.


Taqwa membuka mata hatiku merenung nasib saudara-saudara seaqidah yang disembelih di bumi Quds. Dia bercerita padaku tentang penderitaan keluarganya di Ramallah. Dia berkisah tentang kekejaman Zionis dan Yahudi. Dia menyedarkan aku tentang kelemahan umat Islam. Dia membangkitkan imanku dengan semangat jihad dan perjuangannya. Lalu dia mahu aku sama-sama bersuara menentang penindasan yang berlaku terhadap umat Islam di Perancis, bumi yang sedang kuhuni ini.


Taqwa mula mengejutkan nubari Islamku yang sudah lama kantuk. Katanya, umat Islam tidak sudah-sudah dizalimi. Andai kita masih takut untuk mempertahankan aqidah dan syariat Islam, maka siapa lagi yang harus diharapkan. Aku lihat sinar juang di matanya, Uzair. Aku lihat semangat kesungguhannya mengajakku kembali menuju landasan mustaqim. Aku nampak sinar keikhlasan di matanya. Ya! Sinar yang serupa yang hadir di tubir matamu saat kau menyuarakan hasratmu supaya aku melabuhi hijab dan jilbab ke tubuh perawanku dulu. Sungguh! Aku terpesona dengan semangat kental dan tekad gadis Quds ini. Lalu hidayah Allah kian mercup gemilang setelah acap kali aku dan Taqwa ketemu.


Versailles pernah mengalami revolusi dek kemarahan rakyat yang melarat. Kukira revolusi itu sedang berlaku kini, kala Jacques Chirac berdegil dengan keputusannya mengharamkan tudung. Aku dan Taqwa menyertai satu lagi perarakan demostrasi baru-baru ini. Kerajaan Perancis merancang untuk melaksanakan undang-undang berkenaan bermula sessi persekolahan 2004-2005 bagi memisahkan agama dari sekolah-sekolah kerajaan yang berbentuk sekular. Kami berarak dari Place de La Republique ke Place de La Nation sambil membawa kain-kain rentang dan menyebarkan risalah-risalah kepada masyarakat Perancis. “Sekularisme memalukan”. “Bertudung adalah pilihan kami”. “Sekolah adalah hak saya. Tudung adalah pilihan saya, Perancis adalah tempat perlindungan saya.”


Semangat sahabat-sahabatku di sini yang menguatkan iltizamku untuk terus mempertahankan pakaianku hari ini. Malah suara-suara lantang mereka jualah yang terus menutup pintu hatiku untuk berpaling pada dunia kebaratan yang pernah mencengkam iktikadku selama ini. Tubuhku tidakkan lagi kupamerkan, Uzair. Akan kukuburkan kata-kataku bahawa tudung itu warisan masyarakat Arab yang kolot, lapuk dan kuno. Akan kupertahankan hijab dan jilbab ini. Aku dan sahabat-sahabat akan melakukan revolusi, Uzair! Kami akan mencabar rang undang-undang yang telah diluluskan kerajaan Perancis itu. Dengan sokongan Persatuan Masyarakat Islam di sini, kami akan membawa kes ini ke Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah. Kukira kerajaan Perancis tidak pernah lupa bahawa Perkara 9 Konvensyen Hak Asasi Manusia Eropah menekankan kebebasan mengamalkan ajaran agama atau sesuatu kepercayaan. Malah Dr. Yusuf Qardhawi dan Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah juga sudah menggesa Perancis supaya mengubah pendirian mereka dan memutuskan akan menghantar delegasi ke Paris dengan diketuai oleh bekas Menteri Kehakiman Mauritania, Abdullah bin Baya.


Semalam, pejabat majalah Le Monde digeledah pihak berkuasa. Tulisanku dalam Le Monde ternyata membangkitkan amarah mereka. “Toleransi sudah berakhir dan larangan sudah bermula. Sungguh tidak logik apabila undang-undang Perancis membenarkan wanita memakai skirt pendek, menunjukkan buah dada dan melakukan kemungkaran tetapi pada masa yang sama melarang mereka menutup kepala. Menutup kepala adalah salah tetapi menunjukkan buah dada dan pangkal paha tidak melanggar undang-undang.”


Mereka terus memanipulasi. Semalam, anak jiranku direntap tudungnya lalu dihalau keluar dari kuliah. Dia diberi pilihan sama ada mahu meneruskan pengajian dengan melupakan tudung atau disingkir terus dari kolej. Sungguh! Aku mengkagumi tekad gadis remaja ini. Walau kehidupan rencam di bumi Perancis kian menekan pelajar-pelajar Muslimah di sini, dia sanggup mempertahankan maruah Islam dan harga diri seorang wanita Muslimah lalu melupakan hasratnya untuk mengenggam segulung ijazah. Ah! Kala itu naluriku dihantuk rasa keharuan. Gadis Muslimah nan genit ini ternyata lebih bijak menimbang antara hak dan batil berbanding diriku dulu yang gagal pada piawai duniawi. Aku malu, Uzair. Terlalu malu!


Aku dan Taqwa sedang merancang satu lagi demostrasi jalanan, Uzair. Kali ini yang terbesar. Taqwa sudah pun menghubungi rakan-rakannya di Palestin untuk sama-sama bergabung dalam perarakan kali ini. Akan kami tunjukkan pada dunia, Muslimah Islam bukanlah golongan yang lemah. Tiada siapa pun antara kami yang akan membuka tudung demi memuaskan nafsu serakah kafirun. Walaupun 69% rakyat Perancis dalam suatu pungutan pendapat yang dikendalikan oleh akhbar Le Parisien menyokong tindakan Chirac ini, namun kami, lima juta rakyat beragama Islam yang mewakili 8% penduduk Perancis tidakkan sekali-kali tunduk pada arahan ini.


Versailles bakal menyaksikan suatu lagi revolusi besar. Kami akan berkumpul di sana, tempat pertemuan pertama aku dan Taqwa. Kami akan bergerak beramai-ramai ke Eiffel Tower, menara kebanggaan Paris sejauh 25 kilometer dengan menaiki Metro. Andai dewan di Istana Versailles ini pernah menyaksikan negarawan-negarawan agung dunia menandatangani perjanjian tamatnya Perang Dunia Pertama pada 28 Jun 1919, kami akan sama-sama mengumpul tanda tangan seluruh masyarakat Perancis membantah pengharaman tudung ini. Keadilan dan hak asasi manusia harus dikembalikan. Sudah tiba masanya masyarakat Islam bangun mempertahankan kesucian Islam. Doakan kami ya, Uzair. Semoga apa yang aku dan Taqwa serta sahabat-sahabatku rancangkan akan direstui dan senantiasa di bawah lembayung Rahmat dan Maghfirah-Nya.


Aku sudah mampu tersenyum kini, Uzair. Benar katamu, Muslimah itu bukan ortodoks. Bukan fundamentalis. Bukan pengganas. Aku kini bernafas dalam rongga iman dan kesyumulan Islam. Aku yakin bahawa hijab ini suatu tuntutan Islam yang ingin menjaga maruah Muslimah dan mengembalikan taraf wanita ke tempat a’la.


“They say…Oh poor girl, you’re so beautiful you know. It’s a shame that you cover up your beauty so. She just smiles and graciously responds reassuringly. This beauty that I have is just one simple part of me. This body that I have, no stranger has the right to see. These long clothes, this shawl I wear, ensure my modesty. Faith is more essential than fashion. This hijab…This mark of piety. Is an act of faith, a symbol for all the world to see. A simple cloth to protect my dignity. So lift the veil from your heart…to see the heart of purity.” ( The Veil, Dawud Wharnsby Ali. 1999 )

Sahabatmu,

Fatima Boicha.


Nukilan :

Ghafirah Idris

18 Februari 2004

Perlis.

1 comment:

  1. mnarik cerpen ni,syukran akhtar sudi share ngn sy ni =)
    sy nk tny d prancis skang hrmkn pki tdung ke?

    ReplyDelete


Al Fatihah ( Datuk Saya)

Al Fatihah ( Datuk Saya)