Wednesday, December 2, 2009

Kuliah Roti Canai



Cuti semester universiti merupakan masa yang terbaik untuk berjumpa teman-teman sekolah menengah. Masa inilah ramai teman-teman pulang ke kampung. Masa yang sangat sesuai untuk bersua muka dengan teman-teman. Boleh bertanya khabar dan mengetahui perkembangan terkini.

Maghrib tadi aku berjemaah di Masjid Ibrahimi. Masjid 'hometown' aku. Masjid ni tempat teman-teman aku biasa lepak. Biasanya kami bersolat maghrib berjemaah, lepas tu dengar kuliah maghrib daripada penceramah jemputan. Selepas Isyak, kami berkuliah roti canai di kedai makan.

Maghrib tadi kali pertama aku ke Masjid Ibrahimi setelah beberapa ketika pulang ke kampung. Nampaknya ada perubahan dengan masjid ni. Semakin elok dan cantik. Aku sampai tadi ketika bilal melaungkan iqamat. Aku cepat-cepat masuk saf. Selesai solat, aku toleh kanan toleh kiri. Ada pun teman-teman aku. Seorang berbaju melayu dan kain pelikat. Seorang lagi berjubah putih, gaya ustaz. Ada seorang lagi, yang ni aku pergi jemput kat rumah kerana hujan yang lebat. Kemudian kami bersama mendengar celoteh penceramah.

Lepas Isyak berjemaah, seperti biasa kami pula berkuliah roti canai di kedai makan. Masing-masing bercerita perkembangan terbaru masing. Bila bersembang memang rancak. Isu-isu semasa Kelantan yang menjadi isi perbualan. Sekejap-sekejap nama TG Nik Aziz. Lepas tu Ariffahmi. 'Orang penting' isu PMBK, Kickdefella @ Syed Azidi kerap disebut disamping nama Dato Husam yang menjadi bualan selang seli dengan suara hujan yang menderu. Masing-masing ada cerita dan pendapat tersendiri.

Jalan berbeza yang dilalui mencorakkan bentuk pemikiran dan pendapat masing-masing. Masa sekolah dahulu, kami bersama dalam Badan Dakwah. Melalui pelbagai pengalaman yang mengajar erti kehidupan. Selepas SPM, masing-masing dengan haluan sendiri. Aku ke Sarawak dalam bidang Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi. Ada yang mendalami Ukur Bahan di Uitm. Ada yang ke Universiti Malaya dalam jurusan Pendidikan Islam. Ada ke UUM setelah menamatkan Sijil Tinggi Agama Malaysia. Ada yang sertai jemaah, ada yang tak.

Lalu, perbualan kami tadi dibumbui dengan pelbagai pengalaman dan cerita yang berbeza... Diceritakan dengan persepsi yang berbeza...

No comments:

Post a Comment


Al Fatihah ( Datuk Saya)

Al Fatihah ( Datuk Saya)