Friday, December 11, 2009

KL Beri Harapan Baru



Begitulah tajuk utama Berita Harian 11 Disember 2009. Berita mengenai lawatan Perdana Menteri Malaysia ke Patani, Thailand. Berita Harian menulis begini:

"Lawatan singkat dan bersejarah Datuk Seri Najib Razak ke wilayah ini semalam, memberi harapan baru kepada penduduk Islam di selatan Thailand yang berhadapan dengan pergolakan sejak sekian lama.

Dalam lawatan muhibah itu, Perdana Menteri yang diiringi rakan sejawatnya dari Thailand, Abhisit Vejjajiva, memberi jaminan Kuala Lumpur bukan saja menyokong usaha membawa keamanan di wilayah terbabit, malah akan membantu membangunkan sekolah agama serta program sosiobudaya penduduknya." 

Patani merupakan peta luka umat Islam sejak sekian lama. Patani disirami dengan darah para pejuang yang tak kenal erti penat. Kita pastinya tidak lupa dengan siri keganasan yang menimpa penduduk Islam Patani. Sejarah perjuangan umat Islam Patani adalah sejarah yang kompleks untuk kita fahamkan. Aku cuba mencari maklumat terbaik mengenai perjuangan umat Islam Patani. Aku ketemukan beberapa pertubuhan pejuang Patani seperti BRN dan PULO. Namun berdasarkan penelitian aku, aku lebih 'suka' PULO.



PULO adalah ringkasan Patani United Liberation Organization atau Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu. PULO diasaskan di Arafah, Makkah pada 1968 oleh Kabir Abdul Rahman bersama para ulama Patani di Makkah.

Aku amat tertarik dengan pandangan Timbalan Presiden PULO, Kasturi Mahkota mengenai halatuju PULO. Kenyataan penuh boleh didapati disini.


"Sebenarnya ada perbezaan pandangan antara pendukung yang ingin menegakkan negara Islam terlebih dahulu dengan mereka yang mengutamakan soal lain seperti keadilan, kebebasan dan ekonomi. Maka yang manakah diantara dua pandangan ini perlu diutamakan?  

Yang agak lebih praktikal berpendapat bahwa dalam situasi masa kini, kebebasan, keadilan dan seumpamanya sebagai nilai universal patut didahulukan kerana apabila nilai-nilai ini benar-benar wujud dan berfungsi akan mempercepatkan lagi pelaksanaan syariat Islam secara menyeluruh. Dalam khutbah Jumaat pada setiap minggu pun, kata golongan ini diserukan agar manusia melakukan keadilan dan berbuat baik (ihsan). Malah kata tokoh pemikir Islam Fathi Yakan, anutan agama harus melalui pilihan bukan paksaan dan kebebasan yang diperjuangkan, bukannya paksaan. Malah kebebasanlah yang menuju ke arah praktikaliti pelaksanaan keislaman. Tanpa kebebasan segala-galanya tidak menjadi.

Pandangan ini dikongsi sama oleh Fahmi Huwaidi seorang lagi pemikir Islam Mesir, di mana beliau menganggap dengan adanya kebebasan berpolitik dan pemerintahan yang demokratik akan lebih cepat menuju kepada pelaksanaa Islam yang sebenar.

Abdul Mun'im Abu Futuh, seorang tokoh gerakan Islam yang menonjol dewasa ini bersama Syeikh Yusuf al-Qaradawi ulama terkenal dunia Islam termasuk dalam kumpulan ini. Mereka menyatakan kebebasanlah yang diperlukan lebih awal dalam situasi sekarang. Tanpa kebebasan, rakyat akan merasakan keberagamaan mereka secara terpaksa dan dikawal. Roh Islam itu sendiri adalah inginkan kebebasan, bukannya paksaan. Mereka bertanya, bagaimana kita memaksa masyarakat menerima Islam tanpa mereka terlebih dahulu memahaminya dengan baik? Bukankah kebebasan itu pembuka jalan kepada pelaksanaan Islam?

Dr. Yunus, bekas Dekan Fakulti Syariah di Gaza, menyatakan bahawa menuntut kebebasan adalah lebih utama daripada menuntut pelaksanaan syariah. Justeru kebebasan beriman itu satu daripada cabang akidah yang diberikan keutamaan."


Aku kira ada beberapa persamaan pendekatan PULO dengan Jamaah Islam di negera kita. Inilah Siasah Syar'iyyah..Wallahua'lam



No comments:

Post a Comment


Al Fatihah ( Datuk Saya)

Al Fatihah ( Datuk Saya)