Saturday, November 21, 2009

Ada Usaha untuk Musuh Menyelinap Masuk- Dato Tuan Ibrahim


Aku kira peringatan dan nasihat oleh Dato Tuan Ibrahim dalam wawancara dengan SidangOnline ini perlu di ambil berat oleh semua lapisan pimpinan dan ahli PAS. Aku juga mempunyai kerisauan yang sama. Untuk sahabat-sahabat JIK, kena berhati-hati. Mungkin beberapa orang yang kita kenal boleh jadi sebahagian daripada ejen-ejen yang telah menyusup masuk. Biasanya mereka akan berhujah: "Janji buat kerja untuk Islam. Semua sama je." Lepas tu kamu digunakan oleh mereka untuk memecahbelahkan jemaah tanpa kamu sedari. Boleh baca wawancara penuh di sidangonline.net

_______


SO:Selepas PRU 2008 dimana Pakatan Rakyat mendapat sokongan besar rakyat. Apabila berlaku lompatan ahli-ahli daripada parti dalam Pakatan, wakil-wakil rakyat PAS terus utuh dan istiqamah, tidak ada yang melompat. Ini sebenarnya menaikkan lagi imej PAS di mata umum. Malangnya dalam parti pula, berlaku sedikit kekeruhan. Bagaimana Datuk melihat perkara ini?

DTI:Faktor pertama, kekeruhan yang belaku ini dipengaruhi oleh media dan blog. Keduanya, bila isu yang dibangkitkan itu isu berijtihad jadi berbezanya dari sudut pandangan. Contohnya satu pandangan merasakan kalau begini-begini PAS untung, sedangkan pandangan satu lagi merasakan tindakan itu akan merugikan PAS dan Pakatan secara keseluruhan. Jadi saya tengok perbezaan pandangannya di situ.

Cuma saya cukup bimbang dalam konteks parti, saya harapkan supaya ahli-ahli parti tidak cuba mewujudkan kelompok atau kumpulan dalam parti. Kita boleh berbeza pendapat tetapi kita kena menghargai nilai-nilai akhlak jamaah kita kena utamakan nilai-nilai akhlak berjamaah. Kita tegur, kita kritik sahabat kadang-kadang over sangat lebih daripada kita kritik musuh kita.

Apa pun kita kita kena muliakan sahabat mungkin kerana usianya, kedudukannya… jadi perkara-perkara itu perlu kita hargai. Dalam jamaah Islam kita ada etika dan kita terikat dengan adab-adab yang mesti dipatuhi oleh semua ahli parti. Jadi jangan kerana kita tidak bersetuju dengan sekumpulan lalu kita membelakangi akhlak-akhlak berjamaah. Jadi saya fikir mungkin parti juga kena lihat supaya banyakkan majlis-majlis yang bersifat lebih merapatkan ukhuwah, sebagai contoh hidupkan semula mukhaiyam, rehlah, tamrin majlis-majlis zikir qiyamullail dan munajat bagi pimpinan dan keluarga masing-masing supaya kita tidak hanya berjumpa hanya dalam mesyuarat-mesyuarat saja. Sebab saya fikir cabaran masa depan kita pasti akan lebih besar, kelak apabila rakyat bagi mandat nanti itu ujian Allah yang besar. Jadi kalau kita tidak bina kemantapan jiwa yang kuat, ukhuwah jamaah yang tinggi dan toleransi antara pakatan rakyat jadi boleh diambil kesempatan oleh musuh untuk rosakkan Pakatan ini.

SO:Datuk ada menulis menggesa ahli-ahli PAS agar tidak terperangkap dengan agenda musuh. Akhirnya apa nasihat kepada ahli-ahli PAS.

DTI:Saya fikir begini, kita habis masa, tenaga dan wang ringgit kita habiskan kepada isu-isu yang berlaku ini meletihkan kita dalam perjuangan. Kita perlu beri perhatian sekarang ini kepada agenda perubahan iaitu masa depan kita menghadapi PRU 13. Apa persiapan kita? Saya bimbang kadang-kadang kerana kita berbincang dan kritik sama-sama kita, kita gagal memberi tumpuan kepada soal-soal asas pilihan raya ini. Sebagai contoh daftar pemilih, soal pengundi, jentera dan sebagainya. Ini benda-benda asas kalau kita gagal beri perhatian nanti dia akan merosakkan tumpuan kita. Jadi itu yang saya timbulkan ada usaha untuk musuh menyelinap masuk di kalangan kita dan mencampakkan idea dan kita pun penat bergelut sesama kita. Dalam PAS ada dan dalam DAP pun ada. Sebenarnya isu ini isu mereka, perpecahan dalam Umno, MIC, MCA, PPP tapi isunya …. sepatutnya kita tidak habiskan masa yang panjang dalam isu ini.

Mudah-mudahan tidak ada lagi selepas ini kenyataan-kenyataan yang membuatkan ahli kita rasa letih dan kepimpinan kita habis tenaga kepada perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Jadi sebab itu kita tidak punya masa yang panjang.

1 comment:

  1. kelalaian memusnahkn usaha perjuangn..
    musuh mkin hmpir merobek benteng yg selama ini utuh..
    musuh menebar umpan..
    jgn terus tergadai..
    mereka senyum,tertawa di saat kita mula merangkak ke arah tebaran mereka...
    hnya menuggu saat melenyap segalanya...
    di akhir,hnya keazamn menegakkn islam mnjadi penawar..
    ingtlh,musuh islam mkin gusar..mncari senjata wlau maruah tergadai..

    ReplyDelete


Al Fatihah ( Datuk Saya)

Al Fatihah ( Datuk Saya)