Showing posts with label PAS. Show all posts
Showing posts with label PAS. Show all posts

Monday, March 8, 2010

PAS Tubuh Kolej Universiti


Alhamdulillah, PAS meneruskan langkahan dalam perjuangan menegakkan Islam dengan menubuhkan sebuah kolej universiti yang dinamakan Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM). Nama KUIZM ini dipilih bersesuai dengan satu nama besar dalam perjuangan gerakan Islam dan pendidikan Islam negara iaitu Allahyarham Prof Zulkifli Muhammad, yang merupakan tokoh politik dan pendidikan Islam.

Beliau yang merupakan Timbalan Yang Dipertua PAS pada 1956 dan Ahli Parlimen PAS Kawasan Bachok, Kelantan pada tahun 1959-1964 terkorban dalam kemalangan jalan raya yang ngeri. Sebagai tokoh pendidikan Islam, beliau telah mencadangkan dan dengan gigih mengusahakan penubuhan Kolej Islam Malaya 1953, juga sebagai pencetus idea penubuhan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (Nilam Puri) pada 1965.

Berita penuh di Harakahdaily.

Tuesday, February 23, 2010

Tak Jujur Ke?


Malaysiakini lapor:

"Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad yang digantung keahliannya selama enam bulan dalam PAS, menggesa supaya hukuman ke atas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali ditambah, bagi memperlihatkan kejujuran parti itu dalam membuat keputusan."

Aku : Oooo....Parti tak jujur ye Khalid....? Baru tahu....engkau lah yang jujur ye?

"Khalid yang turut digantung daripada jawatan yang dipertua PAS Shah Alam dan anggota biro politik parti itu, membuat gesaan itu ketika mengumumkan tidak akan merayu terhadap keputusan jawatankuasa disiplin terhadapnya."

Aku : Ingatkan tak merayu sebab redha, rupanya nak tunjuk keras kepala la ni....siap buat gesaan lagi....Alahai Khalid....

Dah berbuih mulut bagitau, hal jemaah tolong selesaikan ikut saluran. Bukan tidak ada ruang. Ada ruang, tapi kenapa pilih wat kenyataan melalui akhbar... Tidak yakinkah dengan jemaah?

Ini silap siapa? Pimpinan? Kurang Tarbiah? Atau takde siapa2 yang perlu bertanggungjawab? Atau silap aku?

Artikel penuh boleh dibaca di sini.

Wednesday, February 17, 2010

Katakan: UMNO nak masuk PAS tu....


Semalam aku hadir program Pemuda Kawasan bersama Ustaz Nasrudin Tantawi, Ketua Pemuda PAS Pusat. Ustaz diberikan taklimat oleh Pemuda Kawasan. Aku hadir dengan taraf 'menumpang'.

Banyak perkara yang diperkatakan oleh Ustaz Nasrudin. Antaranya Ustaz Nasrudin menggalakkan media baru digunakan semaksima mungkin dalam usaha gerak kerja PAS. Macam facebook dan twitter. Aku ada facebook tapi belum ada twitter. Tapi setakat ini facebook aku belum digunakan dengan sebaik mungkin. Sekadar ada akaun je.

Lepas taklimat, Ustaz Nasrudin berceramah bersama Ustaz Kamarudin Sidek, Ustaz Zulkifli Ismail dan seorang YB DAP.

Dalam banyak isu yang di ulas, aku tertarik dengan ulasan mengenai perjumpaan UMNO dan PAS. Ramai ahli memberikan pendapat negatif bila pimpinan PAS berjumpa dengan pimpinan UMNO. Mereka kata PAS nak masuk UMNO. Kenapa tidak katakan UMNO nak masuk PAS? Ini pemikiran yang perlu dibetulkan. PAS ni Gerakan Islam. Dakwah dan tarbiah jangan pulak di lupa. Hebat macam mana berpolitik sekalipun tapi tidak ada adab berjemaah tak ada gunanya. Elok masuk parti sekular macam UMNO.

Ustaz juga ada ulas pasal hubungan politik dengan DAP. PAS dikatakan boneka DAP. Ustaz bagi contoh senang. Kita tinggal kat satu taman perumahan. Jiran kita Cina dan India. Pada suatu hati, rumah kita dimasuki pencuri, kita kejar pencuri tu, dan jiran kita yang Cina dan India (bukan Islam) keluar sama untuk tolong kejar pencuri, adakah kita akan bagitau macam ni? Kamu ni kafir, tak boleh tolong, biar aku kejar sorang je...Kamu masuk balik rumah kamu...

PAS mengadakan hubungan politik. Bukan hubungan akidah. Maksudnya bukan bermakna bila wat hubungan politik dengan DAP bermaksud minggu ni kita solat kat gereja dan minggu depan dia solat kat masjid. PAS mengadakan hubungan politik dengan DAP kerana ingin menumbangkan kezaliman dan ketidakadilan UMNO Barisan Nasional.

Sekarang ni mereka tuduh Guan Eng abaikan hak orang Islam. Cuba fikir dengan akal, bandingkan, Ali Rustam potong elaun guru takmir, dari RM50 kepada RM10 setiap kali mengajar. Guan Eng pula naikkan elaun guru KAFA.

Fikirla sendiri....

Tuesday, February 9, 2010

Belajar Jangan Jadi Bodoh

Sape yang tahu bodohkan orang pasal isu Jawatankuasa Disiplin PAS tu cuba dengar elok-elok wawancara ni, biar tahu macam mana prosedurnya. Jangan reti nak cakap bodoh kat orang. Kau tu cerdik sangat ke? Dahla takde adab berjemaah. Dah rasa hebat sangat ke? Dengar elok-elok Dato Tuan Ibrahim bagi penerangan ni.





Sunday, February 7, 2010

Ali Gostan


Pagi Ahad. Awal pagi lagi aku dah mandi. Kemudian aku pakai seluar slack dan t-shirt kuning. Diorang minta pakai baju yang ada lambang, tapi aku manalah ada baju macam tu. Kemudian aku pecut RXZ ke stesen minyak petronas. Diorang cakap kumpul kat situ jam 7.30 pagi, awal macam aku pergi mengajar pulak. Sementara menunggu yang lain-lain, aku dan beberapa orang lagi pekena roti canai dulu sambil sembang-sembang apa yang patut.

Tak lama kemudian semua sampai. Ketua Pemuda PAS Negeri, Ustaz Kamarudin Sidek juga hadir. Pimpinan pemuda PAS kawasan ada gak. Sorang YB DAP turut sama memberikan sokongan.

Kotak-kotak yang berisi limau mandarin mula diangkut. Aku menyertai Ustaz Kamarudin memberikan limau mandarin daripada PAS dan kad jemputan rumah terbuka tahun baru Cina  kepada pengunjung pasar Taman Sin Hoo. Kejap je limau yang berkotak-kotak itu habis diedarkan. Pengunjung pasar memberikan respon yang positif.

Masa tengah edar tu, tiba-tiba ada seorang Cina pertengahan umur melaungkan '1 Malaysia'. Kami hanya tersenyum. Kemudian lelaki tersebut menghampiri kami. Dia bersembang sepatah dua kemudian beritahu: 'Ini malam Ali Gostan datang sini'. Dia beraksi berjalan berundur untuk menggambarkan perkataan 'gostan' yang diucapkan.

Aku ketawa terbahak-bahak.

Wednesday, February 3, 2010

Kalau anda tidak boleh membantu jamaah, jangan menyusahkan jamaah - Dato Tuan Ibrahim


Umum memaklumi keadaan sehari dua ini agak panas dengan keputusan JK Disiplin PAS menggantung Khalid Samad dan memberi amaran kepada Dato Hasan Ali. Dato Tuan Ibrahim yang mengetuai JK Disiplin menerima pelbagai kecaman mereka yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut. Aku lampirkan penjelasan Dato Tuan Ibrahim terhadap isu ini.

********
Berada di kerusi Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Parti bukanlah sesuatu tempat yang mudah dan selesa. Ia adalah tempat yang akan menerima pelbagai kecaman dan kritikan, dan di waktu yang sama saya tidak boleh membela diri kerana sebarang jawapan kepada kritikan berhubung keputusan JK Disiplin, akan mendedahkan beberapa maklumat sulit parti, yang tidak perlu diketahui oleh umum.

Sewaktu saya ditawarkan jawatan ini, saya merayu beberapa kali agar melantik orang lain, bukan untuk lari dari amanah, tetapi ianya tidak sesuai dengan jiwa saya. Saya tidak suka menghukum orang, apa lagi untuk menjatuhkan hukuman ke atas sahabat satu jamaah. Bahkan saya sangat bersetuju suatu pindaan Perlembagaan parti perlu dibuat agar Pengerusi JK Disiplin tidak diambil dari kalangan AJK Pusat; kerana ia akan dilihat ‘tidak adil’ terutama bila mana kita terpaksa membicarakan AJK sendiri atau pemegang jawatan parti. Undang-undang bukan sahaja perlu adil, tetapi juga perlu dilihat adil. Mungkin satu masa yang terdekat perkara itu akan dipinda, dan itulah harapan saya. Bukan untuk lari dari amanah, tetapi untuk kebaikan parti yang terus berkembang dan akan pasti berhadapan dengan lebih banyak karenah dalaman.

Bila mana saya dihadapkan dengan kes membabitkan dua tokoh di Selangor, Dato’ Dr Hassan Ali dan YB Khalid Samad, kedua-duanya adalah sahabat baik yang semua orang tahu. Saya mempunyai hubungan yang sangat akrab dengan Khalid Samad, bahkan kalau ke Shah Alam, Markas PAS Seksyen 18 adalah tempat penginapan saya. Di situlah saya berehat dan tidur selepas program di Shah Alam, dan Khalid Samad antara orang terawal saya hubungi, memaklumkan bahawa saya masuk kawasan jajahan takluknya, sebagai Ahli Parlimen. Biasa kami akan berjumpa, minum-minum dan berbual. Bahkan selepas hukuman dijatuhkan kepada beliau saya menghubunginya di luar negara, memaklumkan keputusan, dan memohon keampunan Allah kalau saya tersilap dalam membuat keputusan kepada sahabat sendiri.

Tapi apakan daya, hukuman dan keputusan terpaksa dijatuhkan. Hanya saya rasa kurang terbeban bila mana keputusan dibuat dengan sebulat suara oleh semua Ahli JK Disiplin. Di kalangan kami ada bekas hakim dan peguam veteran PAS, Dato’ Abd Mutalib Embong dan Tuan Guru Hj Osman, seorang ulamak terkenal yang pernah menuntut di Makkah al-Mukarramah dalam bidang syariah.

Saya memaklumkan kepada YB Khalid Samad, agar menggunakan peruntukan perlembagaan untuk membuat rayuan kepada JK Pusat dan Syura, sekiranya beliau rasa hukuman tidak berpatutan. Saya masih ingat kata-kata beliau sebelum beliau ke luar negara, dalam pertemuan sewaktu membincangkan isu kalimah Allah, beliau berkata: “Kalau ana bersalah, hukumlah, jangan anta rasa berat pulak.” Saya menjawab : “ InsyaAllah, semoga Allah memudahkan urusan ini.” Beliau menyatakan dengan keputusan ini beliau sukar untuk merasmikan mesyuarat agung cawangan –cawangan yang telah membuat jemputan, tetapi beliau boleh hadir atas sifat sebagai Ahli Parlimen, dan aktiviti beliau boleh berjalan macam biasa.

Saya teringat bila mana Umar al-Khattab melucutkan jawatan Khalid al-Walid (bukan menggantungnya) sedangkan Khalid tidak melakukan apa-apa kesalahan. Khalid terus berjuang sehingga penyokong hairan dengan tindakannya. Mereka bertanya: “Kenapa kamu tidak nampak apa-apa perubahan?” Beliau menjawab: “Aku bukan berperang kerana jawatanku, tetapi kerana Allah!” Bahkan beliau terus mengemukakan cadangan kepada panglima baru bila mana melihat tentera Islam hampir kalah. Inilah semangat Khalid al-Walid. Saya yakin kita perlu mencontohinya.

Kami tidak ada agenda untuk menjatuhkan seseorang atau menaikkan seseorang. Hukuman berdasarkan fakta yang ada di hadapan kami adalah hasil soal siasat dan penghujahan yang lama dan panjang, semata-mata untuk memberi keadilan kepada tertuduh. Kami tidak boleh mengikut kehendak orang ramai yang hanya berdasarkan andaian, bukan fakta siasatan. Saya yakin pengumuman keputusan akan menjadi tajuk utama berita, kerana media perdana telah memainkan isu ini beberapa waktu sebelumnya dengan pelbagai andaian hukuman. Mereka telah berjaya membawa pemikiran massa kepada satu hukuman jangkaan yang mereka ada agenda tersendiri.

Selepas keputusan diumumkan saya menjangka UMNO akan memainkan isu ini bagi melemahkan pengaruh PAS, khususnya di Selangor. Ternyata andaian saya meleset. UMNO tidak menyerang sebaliknya saya diserang oleh ahli PAS dan rakan-rakan sendiri, yang hadir dalam mesyuarat bersama dan sering berjumpa sama. Kenapa mereka tidak datang jumpa dan bincang terus, kenapa perlu menggunakan media untuk menyerang JK Disiplin yang ditubuh oleh parti dan mempunyai hak dan kelayakan dalam perlembagaan parti? Apa untung bagi parti dengan tindakan tersebut?

Saya sebenarnya cuba untuk menjawab tohmahan itu, tetapi sebarang jawapan hanya akan menimbulkan polimik yang lebih besar dan berpanjangan. Tambahan pula ada beberapa fakta yang ditemui tidak sesuai jadi tatapan umum. Cuma saya bertanya sendirian, kenapa UMNO tidak mengambil kesempatan menyerang sedangkan mereka telah membentuk pemikiran massa ke arah itu. Bahkan yang hebat menyerang adalah ahli PAS atau penyokong PAS. Mungkin kerana simpati terhadap Khalid Samad, atau geram dengan Hassan Ali.

Komentar dari Abdullah Karim saya anggap melampau dan saya difahamkan Dewan Pemuda Pusat akan melakukan sesuatu, dan Pejabat Agong juga akan bertindak. Beliau sebenarnya telah menghantar surat memaklumkan akan mengikuti isteri ke luar negara dalam tempoh yang panjang, dan sehubungan itu beliau melepaskan semua jawatan dalaman parti dan jawatan di peringkat negeri Pahang. Mesyuarat telahpun menerima permohonan beliau. Sayangnya saat-saat akhir sebelum beliau ke luar negara, kesempatan diambil untuk menyerang JK Disiplin Parti. Kritik kemudiannya tinggal.

Saya dukacita kerana beliau seorang peguam, yang memahami prosedur hukuman dan siasatan. Kita tidak boleh menghukum berdasarkan andaian dan kehendak massa. Hukuman mestilah berdasarkan fakta yang kita temui dalam siasatan. Seandainya ada fakta yang terselindung atau yang tidak dikemukan sebagai bahan kes, maka kita tidak boleh mengambilnya sebagai alasan penghakiman. Memang saya akui bahawa beliau ada menghantar satu laporan kepada JK Disiplin, tetapi saya telah maklumkan prosedur bahawa dia kena hantar kepada SU Agong untuk dibuat penilitian, kesahihan penama-penama yang disebut, apakah ia benar ahli PAS atau bukan, sejauh mana ada kes yang boleh dirujuk kepada JK Disiplin atau kes hanya melibatkan urusan pentadbiran parti.

JK Disiplin adalah hakim, bukan badan untuk menyiasat. Takkan beliau tak faham, semua parti politik mempunyai mekanisma yang sama. Bahkan dalam prosedur perundangan biasa pun, mana ada seorang yang dituduh terus diheret di hadapan hakim untuk bicara. Pihak polislah perlu menyiasat, mencari bukti dan menentukan apakah ada kes sebagaimana yang dituduh atau tiada kes. Aduan yang dia buat hanya berupa ‘hear say’, dan dia juga faham dan sudah diberi tahu bahawa aduan beliau tidak boleh diambil tindakan, hanya dengar cakap, tiada bukti. Untuk memanggil orang yang berkenaan dalam pertuduhan beliau, penama tersebut bukan ahli PAS. Kita tiada kuasa memanggil bukan ahli dan apa jaminan ianya tidak bertindak merosakkan nama baik parti sekiranya dipanggil. Ini JK Disiplin parti, untuk menjaga ahli agar tidak melakukan tindakan merosakkan nama baik parti, dan bertindak di luar perlembagaan parti.

Apa yang mendukacitakan saya ialah saya telah jelaskan bahawa inilah prosedur laporan disiplin parti, yang telah diamalkan sejak awal penubuhan parti lagi, dan beliau memahaminya dan menerimanya pada waktu itu. Tetapi kenapa tiba-tiba dia sanggup mengeluarkan kanyataan menyerang prosedur tersebut. Soal dia tidak berpuas hati dengan hukuman ke atas tertuduh, saya pelik bukan dia yang kena tuduh. Bahkan kalau kita baca tulisan YB Khalid sendiri dia rasa puas hati bilamana segala dakwaan beliau terhadap Hassan Ali dibuktikan benar oleh JK Disiplin, sehingga Hassan Ali didapati bersalah dan dilarang mengeluarkan sebarang kenyataan yang merugikan PR dan parti. Yang kena hukum berpuas hati, yang tak ada kena mengena pulak tak puas hati.

Sebagai pimpinan kita sepatutnya menyalurkan komentar melalui saluran parti dan memelihara adab dalam jamaah. Semua harus fikir apakah tindakan yang kita lakukan itu menguntungkan parti atau sebaliknya, kerana kenyataan kita bukan keputusan perbicaraan, yang terpaksa berdasarkan fakta dan bahan yang ada di hadapan kita.

Kepada Allah saya memohon ampun andainya tindakan yang diambil tidak tepat dengan apa yang sepatutnya; dan semoga Allah tidak membebankan saya dengan bebanan yang lebih berat di akhirat. Ingatlah, kalau anda tidak boleh membantu jamaah, jangan menyusahkan jamaah.


Al Fatihah ( Datuk Saya)

Al Fatihah ( Datuk Saya)