Monday, November 30, 2009

Biro Tata Negara ( BTN): Aku Dapat Pujian Fasilitator


Beberapa hari ini kecoh dibicarakan mengenai Biro Tata Negara ekoran Kerajaan Selangor tidak membenarkan kakitangan kerajaan negeri serta pelajar-pelajar IPT di bawah Kerajaan Selangor menyertai sebarang program Biro Tata Negara. Pelbagai pihak memberikan  pandangan masing-masing. Dengar cerita Kerajaan  Pulau Pinang juga akan mengambil tindakan yang sama.

Kehidupan sebagai mahasiswa tidak akan terlepas daripada program-program BTN. Aku pernah mengikuti beberapa  program BTN. Ada satu pengalaman yang sentiasa aku ingati. Dalam satu program BTN, aku mendapat pujian daripada fasilitator. Mungkin sebab FC tu tak tahu siapa aku sebenarnya. Hehe.

Kat kampus tu, aku pernah di amanahkan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Surau (JPS). Kiranya persatuan untuk pelajar Islam la, disebabkan ada peraturan sebuah universiti yang melarang ditubuhkan persatuan berasakan agama atau kenegerian. Biasanya JPS akan sediakan jamuan selepas Majlis Bacaan Yasin pada setiap malam Jumaat kat surau. Akulah yang tolong hidangkan makanan kat kawan-kawan. Sekali sekala ketika ustaz-ustaz takde, akulah yang imamkan solat. ( Ini masuk bakul tak dapat nak angkat ni). Jadi pendirian dan kecenderungan aku terhadap Islam memang diketahui oleh kawan-kawan.

Dalam satu modul BTN, peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Semua kumpulan dikehendaki memilih seorang wakil untuk membentangkan satu tajuk yang telah diberikan. Lalu kumpulan aku memilih aku untuk membentangkan tajuk tersebut. Kami telah berbincang panjang lebar mengenai tajuk yang diberikan.  Aku dapat giliran agak belakang.  Bila wakil kumpulan satu dijemput, wakil tersebut diberikan satu kertas kecil, dan di atas kertas tersebut ada satu perkataan. Rupanya, setiap wakil akan diberikan kertas yang berbeza untuk dibincangkan. Apa yang dibincang dalam kumpulan semuanya sia-sia. Aku ingat lagi, seorang kawan aku dapat kertas yang bertulis 'PPSMI'. Tergagap dia nak citer pasal PPSMI. Siap bagi definisi rekaan untuk PPSMI. Masing-masing dapat tajuk yang pelik-pelik

Bila tiba giliran aku, aku ambil kertas daripada FC kemudian naik ke pentas. Kemudian aku buka kertas yang dilipat...ada tulisan 'ISA'. Aku tanya FC, ISA ni Akta Keselamtan Dalam Negeri ke? FC tu mengiyakan. Dalam masa sama kepala aku berputar ligat, dok fikir apa yang aku nak buat ni.Akhirnya aku buat keputusan untuk membodek dan mengampu mereka. Dah macam PM dah aku masa tu. Siap ada sesi soal jawab lagi. Sahabat-sahabat seusrah tersengih sambil menahan gelak. Lepas aku bagi pendapat aku, FC yang jadi moderator sesi tu puji pandangan aku yang lancar dan tidak tergagap.

Best ape BTN...

Saturday, November 28, 2009

Tribute untuk Kawan Lama, Azan Safar




Gambar ambil dari blog Azan


Semalam aku tiba-tiba teringat kat sekolah lama aku. Aku pun taip la kat google nama sekolah aku. Bila keluar dia punya result, ada nama yang aku kenal, Azan Safar. Dia lebih muda dari aku. Kira junior la. Aku 'dikeluarkan' dari sekolah tu, kalau tak silap aku, tahun 2002. Aku tekan link kat google tu, terus ke blog dia. Memang sah dia Azan Safar yang aku kenal.

Dia ada coretkan kenangan masa di sekolah dulu kat blog dia.

"Pelbagai cerita dibuka, pelbagai kisah diungkit kembali. Sedikit sebanyak menimbulkan rasa rindu untuk pulang ke sekolah lama. Bagaimana memori ‘gelaran’ diungkit kembali, memori memanjat bagunan masjid, memori bilik vip, memori tandas boleh menjadi pejabat, semuanya membuatkan kami tidak puas tersenyum."

Masjid kat sekolah tu besar. Dua tingkat. Tika tu masih dalam pembinaan. Jadi ada 'stage'. Kitorang selalu guna 'stage' untuk panjat ke tingkat dua. Malam-malam, aku suka main tembak-tembak kat tingkat atas. Masa tu popular ngan Abu Sayyaf. Masa tu, kitorang la Abu Sayyaf kat sekolah tu. Esok kena panggil ngan ustaz sebab kantoi main tembak-tembak.

Azan yang dulu aku kenal sekarang dah jadi manusia yang sedang mendaki tangga kejayaan. Tengok profil dia:

Maahad Tahfiz Daril Naim, Kota Bharu, Kelantan. (2001-2003)

SMU (A) Maahad Muhammadi Lelaki, Kota Bharu, Kelantan. (2004-2005)
- Timbalan Ketua Umum I Asrama Taqwa MML (2004)
- Ketua Umum Asrama Taqwa MML (2005)

Darul Quran JAKIM, Kuala Kubu Bharu, Selangor.
- Diploma Tahfiz Al-Quran Wal Dakwah-(2006-2009)
- Bendahari Lajnah Penerbitan & Informasi PERKEMAT DQ (06/07)
- Setiausaha AQRAB (2007)
- Exco Lajnah Dakwah & Tarbyiah PERKEMAT DQ (07/08)
- AMK Badan Bertindak Mahasiswa Nasional (08/09)

Mujamma' Sheikh Ahmad Kiftaro, Abu Nour, Syria.
-Diploma Syariah Dan Bahasa Arab-(2009- 2010)


Aku tumpang bangga dengan kejayaan kawan-kawan. Sekarang dah bertukar jadi 'sahabat'. Aku baru YM ngan dia. Kami rupanya sejalan...

Bakal Menteri Besar Kelantan




Dato Ahmad Yakob


Dato Mohd Amar Nik Abdullah


Dato Husam Musa


Isu pengganti Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan merupakan isu yang sedang hangat diperkatakan. Mari kita lihat berita-berita yang disiarkan didalam akhbar arus perdana.

1.Utusan Online

Ahmad Yakob Layak Jadi MB

"KOTA BHARU 26 Nov. - Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob adalah calon paling sesuai untuk dinamakan sebagai pengganti Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, cadangannya baru-baru ini supaya Nik Abdul Aziz menetapkan pengganti bukan bermaksud mahu mendesak Menteri Besar meletakkan jawatan.

Sebaliknya kata beliau, cadangan tersebut bertujuan untuk memastikan tiada masalah timbul semasa peralihan kuasa kelak."


2. Berita Harian Online


KOTA BHARU: Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, bersetuju supaya Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, dilantik Menteri Besar sebagaimana saranan ahli Exco Kanan Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa.

___________

Aku fikir ini satu detik penting dalam sejarah politik tanah air juga untuk PAS sebagai sebuah Harakah Islamiyyah. Aku yakin PAS mempunyai saluran dan mekanisma yang baik untuk menguruskan perkara ini. Di dalam sebuah Harakah Islamiyyah jawatan bukanlah sesuatu yang dibanggakan sebaliknya merupakan amanah yang akan dikira dan dinilai oleh Allah pada Hari Perhitungan nanti. Jawatan adalah satu amanah yang cukup sukar dan berat untuk dipikul. Jawatan bukan untuk direbut-rebutkan. Sesungguhnya amanah itu sangat berat....

Dari segi politiknya aku melihat adanya permainan politik yang cukup licik disini. Saudara-saudara boleh menganalisis situasi ini dan menilai baik buruknya. Ketua Dewan Pemuda PAS pernah ingatkan untuk tidak berpolitiking di dalam jemaah. PAS adalah sebuah Harakah Islamiyyah yang pada masa sekarang memilih politik sebagai wasilah untuk menegakkan sebuah masyarakat yang terkandung di dalamnya nilai-nilai dan hukum-hukum Islam. Jangan dok amalkan politik Machiavelli....

Thursday, November 26, 2009

Selamat Hari Raya Aidil Adha



Aku mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha untuk semua. Kenangi pengorbanan para rasu, nabi, sahabat, ulama, mujahidin serta seluruh pejuang Islam yang bersedia mengorbankan jiwa raga mereka untuk mencapai keredaan Allah. Kita bagaimana? Bersediakah untuk berkorban?

Tafsir Al Munir: Catatan 3




Surah Al Muzammil.
Diturunkan di Mekah. Mengandungi 20 ayat. Nama surah ni bermaksud ' orang yang berselimut'. Surah ini diturunkan pada peringkat awal kenabian Nabi Muhammad saw. Allah telah memerintahkan Nabi saw untuk membuka selimut dan bangun untuk menyampaikan risalah Allah.

Kandungan Surah
Surah ini mengandungi petunjuk-petunjuk serta arahan-arahan Allah untuk Nabi Muhammad saw semasa perjalanan dakwah Baginda saw. Surah ini juga mengandungi ancaman kepada kaum musyrikin yang menentang dakwah Nabi saw.

Allah memerintahkan Nabi saw bangun pada waktu malam beribadah kepadaNya, bertahajud serta membaca Al Quran untuk menguatkan jiwa Nabi saw sebagai bekal untuk perjalanan dakwah yang mencabar. Allah berfirman dalam Surah Al Isra ayat 79: "di waktu malam,hendaklah kamu bertahajud, sebagai sunat kepada engkau. Moga-moga Allah menempatkan engkau di tempat yang terpuji". Allah juga memberitahu Nabi tentang berat serta mencabarnya tugas sebagai Rasulullah, maka Allah perintahkan Nabi untuk mengingati Allah siang dan malam. Dalam surah ini Allah nyatakan: sesungguhnya Aku beri kepada engkau perkataan yang berat". Allah juga memerintahkan Nabi bersabar di atas gangguan kaum musyrikin yang menuduh Nabi sebagai tukang sihir dan penyair.
____________

Begitulah juga dengan kita untuk melazimi qiamullail sebagai latihan jiwa agar jiwa kita menjadi kuat serta mampu menghadapi pelbagai mehnah dan tribulasi sepanjang jalan juang ini. Jemaah kita ini bukanlah parti politik semata-mata tetapi merupakan Harakah Islamiyyah. Maka agenda tarbiyyah perlu diperkasakan untuk melahirkan para pejuang yang taqarrub kepada Allah. Kekuatan tarbiyyah adalah tunjang kekuatan jemaah. Ahli yang kurangnya tarbiyyah akan menjadi duri dalam daging kepada jemaah.Tetapi jangan tersilap untuk mengecilkan skop tarbiyah kepada tahajud dan membaca Al Quran semata-mata. Wallahu a'lam.

Wednesday, November 25, 2009

Budaya Politik dan Demokrasi di Negara Membangun





Gempaknya tajuk. Untuk sesi Sekolah Pemikir Muda(SPM) akan datang, aku ditugaskan untuk bentang pasal budaya politik dan demokrasi di negara-negara membangun. Mari kita pakat tengok definisi perkataan yang ada kat atas tu. Apa itu budaya politik? Apa itu demokrasi?

_________

Budaya politik

Budaya politik merupakan sistem nilai dan keyakinan yang dimiliki bersama oleh masyarakat. Namun, setiap unsur masyarakat berbeza pula budaya politiknya, seperti antara masyarakat umum dengan para elitnya.

Berikut ini adalah beberapa pengertian budaya politik yang dapat dijadikan sebagai pedoman untuk lebih memahami secara teoritis sebagai berikut :

a. Budaya politik adalah aspek politik dari nilai-nilai yang terdiri atas pengetahuan, adat istiadat, tahayul, dan mitos. Kesemuanya dikenal dan diakui oleh sebagian besar masyarakat. Budaya politik tersebut memberikan rasional untuk menolak atau menerima nilai-nilai dan norma lain.

b. Budaya politik dapat dilihat dari aspek doktrin dan aspek generiknya. Yang pertama menekankan pada isi atau materi, seperti sosialisme, demokrasi, atau nasionalisme. Yang kedua (aspek generik) menganalisis bentuk, peranan, dan ciri-ciri budaya politik, seperti militan, utopis, terbuka, atau tertutup.

c. Hakikat dan ciri budaya politik yang menyangkut masalah nilai-nilai adalah prinsip dasar yang melandasi suatu pandangan hidup yang berhubungan dengan masalah tujuan.

d. Bentuk budaya politik menyangkut sikap dan norma, yaitu sikap terbuka dan tertutup, tingkat militansi seseorang terhadap orang lain dalam pergaulan masyarakat. Pola kepemimpinan (konformitas atau mendorong inisiatif kebebasan), sikap terhadap mobilitas (mempertahankan status quo atau men¬dorong mobilitas), prioritas kebijakan (menekankan ekonomi atau politik).

Demokrasi

Demokrasi berasal dari perkataan Yunani iaitu Demo-cracy. `Demo' bererti rakyat atau masyarakat dan `cracy' bererti pemerintahan atau undang-undang.

Demokrasi memang sukar didefinisikan dan sering menyebabkan kontroversi. Tetapi sejak kewujudan Athen demokrasi sering dimaksudkan sebagai kerajaan yang diperintah oleh rakyat. Sebarang percubaan untuk mencipta maksud sebenar demokrasi akan kurang mengelirukan jika ia tidak lari dari maksud asal demokrasi ini.

Sejak dulu lagi banyak definasi demokrasi telah dirumuskan. Adakalanya terlalu ringkas seperti kerajaan oleh rakyat untuk rakyat, satu bentuk kerajaan di mana pemerintah bertanggungjawab keatas orang yang diperintah, atau kerajaan daripada perbincangan. Jika kita kaji pendapat Plato dan Aristotle, kedua-dua berpendapat demokrasi mewakili peraturan daripada kebanyakan rakyat, rakyat bagi mereka kebanyakan terdiri daripada miskin dan jahil. Oleh itu, mereka yang tidak pandai memilih untuk menindas yang kaya.

Demokrasi boleh dimaksudkan sebagai satu sistem politik yang boleh dikatakan sebagai semua rakyat boleh buat sebarang atau keputusan yang penting tentang polisi awam. Demokrasi sering digunakan atau diperkatakan sebagai melambangkan kesamaan politik. Ini dapat di dilihat di mana demokrasi mempunyai sifat atau dasar terbuka dalam politik di mana pertandingan parti-parti politik semasa pilihanraya adalah terbuka. Sesiapa sahaja boleh bertanding secara terbuka. Pemenangnya akan mewakili rakyat untuk menyatakan sebarang dasar atau keputusan rakyat kepada kerajaan.
__________
 Aku kena mengkaji lagi ni. Ini pandangan sarjana barat. Aku kena bandingkan dengan pendapat sarjana muslim. Apa pandangan Islam mengenai budaya politik dan demokrasi? Mungkin pandangan TG Hj Hadi Awang yang mahir dalam siasah syariyyah amat menarik untuk ditelusuri...

Tuesday, November 24, 2009

Kenangan Sekolah Menengah: ZIKR



Satu

Aku dulu bersekolah di 3 sekolah menengah. Bermula dengan Maahad Tahfiz Ummul Qura. Kemudian ditukarkan ke Maahad Tahfiz Daril Naim dan yang terakhir, Sekolah Menengah Ugama (Arab) Saniah [sekarang Maahad Saniah]. Aku ke SMU(A) Saniah masa akhir tingkatan 4. Masa tu cuma beberapa bulan untuk peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU).

Masa awal-awal kedatangan aku kat Saniah, aku ada komen satu risalah yang di tampal di dinding kelas aku kepada seorang kawan. Aku beritahu dia, risalah tu tak menarik. Sebenarnya aku takde ape yang nak dibualkan dengan dia. Aku saje je komen risalah tu.

Tidak berapa lama kemudian, aku dijemput unuk menghadiri satu mesyuarat. Aku telah dilantik sebagai Exco Lajnah Penerbitan, Badan Dakwah dan Latihan Kepimpinan Islam (BD). Rupanya kawan aku tu ahli Badan Dakwah. Dia juga telah dilantik sebagai Pengerusi Badan Dakwah. Lajnah Penerbitan ini punyai kaitan yang rapat dengan hidup aku sehinggalah sekarang. Lain kali aku cerita. Kali ini aku nak cerita pasal majalah/risalah.

Antara tugasan yang aku lakukan ialah menerbitkan majalah/risalah. Pada masa tu sekolah aku mendapatkan majalah/risalah yang diterbitkan oleh Maahad Muhammadi. Penasihat BD masa itu, Ustazah Norliza, menggalakkan BD menerbitkan sendiri risalah untuk di edarkan di Saniah dan sekolah-sekolah Yayasan Islam Kelantan sekitarnya. Aku memulakan projek 'Zikr'. Berbekalkan kemahiran komputer yang tidak seberapa, aku menggunakan Mic Word untuk layout Zikr. Punyalah susah. Kemudian bila kemahiran komputer aku makin berkembang, aku gunakan Mic Publisher. Masa aku di Saniah cuma sebentar, selepas mengikuti PLKN, aku menyambung pelajaran ke Sarawak.

Dua

Aku berminat dengan dunia penerbitan khususnya komik walaupun aku tak reti melukis. Aku hanya pandai lukis orang lidi, itupun teruk kena kritik. Komik punyai peminatnya yang tersendiri. Aku memasang impian untuk terbitkan komik secara kecil-kecilan untuk di edarkan di sekolah-sekolah dan IPT-IPT. Aku fikir komik dan yang sealiran dengannya merupakan salah satu medium untuk jemaah Islam berdakwah serta mendapatkan sokongan golongan muda. Aku lihat pelbagai aliran pemikiran lain menggunakan komik untuk menyebarkan pemikiran mereka kepada golongan muda. Aku amat tertarik dengan komik-komik yang diterbitkan oleh Gempak Starz kerana layout yang cantik. Memanglah isi kandungannya tidak menepati kehendak syariat tetapi kualiti layout dan design sangat menarik hati. Kenapa tidak kita terbitkan majalah dakwah dengan layout dan design yang menarik serta tidak membosankan? Ada sesiapa yang sanggup menyahut cabaran ini?



Tafsir Al Munir : Catatan 2


Lagi catatan bebas ringkas aku mengenai Tafsir Al Munir. Surah Al Fatihah.

_____

1. Allah mengajar manusia untuk memulakan pekerjaan dengan bismillah. Allah juga mengajar manusia untuk memuji kebaikan dan nikmat yang dikurniakan oleh Allah kerana Allahlah yang menjadikan segalanya. Allah mencipta, mentadbir serta memberi rahmat kepada semua makhluk. Allah juga menguasai hari pembalasan, menegakkan keadilan yang mutlak untuk hamba-hambaNya. Kita mesti meng'esa'kan Allah dalam ibadah dan juga memohon pertolongan daripada Allah. Kita tidak memohon pertolongan kepada yang lain kecuali kepada Allah dan kita juga tidak menyembah selainNya.

2. Allah mengurniakan kepada manusia lima jenis hidayah.

1. Hidayah Ilham Fitri. maksudnya 'naluri semulajadi'. Contohnya, bayi yang baru dilahirkan dikurniakan naluri lapar. Bayi akan menangis apabila lapar. Siapa yang mengajarkan bayi mengenai naluri lapar?

2. Hidayah Hawas. Maksudnya 'panca indera'. Hidayah ini merupakan pelengkap kepada hidayah ilham fitri. Hidayah ini ada pada manusia dan juga haiwan. Kadangkala panca indera haiwan punyai kelebihan berbanding manusia.

3. Hidayah Akal. Hidayah ini lebih utama daripada 2 hidayah sebelumnya. Kerana manusia punyai naluri bermasyarakat yang lebih berbanding makhluk lain. Sebab itulah akal diperlukan untuk mengatur kehidupan manusia serta mengelakkan manusia daripada terpesong ke arah keburukan.

4. Hidayah Ad Din. Maksudnya 'agama'. Hidayah agama tidak mungkin tersalah kerana bersumberkan wahyu daripada Allah. Akal boleh tersesat serta terpengaruh dengan hawa nafsu. Manusia perlukan hidayah ini untuk tunjukkan jalan yang lurus.

5. Hidayah maunah wa taufik. Hidayah ini lebih khusus daripada hidayah agama. Allah menyuruh manusia mencari hidayah ini. Allah telah berfirman: ihdinassiratalmustaqim. Hidayah ini milik Allah. Allah berkuasa untuk memberikan hidayah ini kepada sesiapa sahaja. Manusia tidak boleh memberikan hidayah walaupun Nabi Muhammad saw. Boleh rujuk Surah Al Qasas ayat 56.

3. Manusia yang sesat boleh dikelaskan kepada dua:

1. Sesat kerana memang betul-betul sesat.
2. Sesat kerana memilih untuk sesat.

At Taubah ayat 115: Allah tidak akan sesatkan sesuatu kaum setelah mereka diberi petunjuk...

______

Insya Allah aku sambung lain kali pula.

Monday, November 23, 2009

Tafsir Al Munir: Catatan 1


Cuma sekadar catatan bebas ringkas semasa aku belajar Tafsir Al Munir dengan ayah aku. Sila rujuk teks arab untuk ayat-ayat Al - Quran dan istilah-istilah arab. Tulisan rumi hanyalah untuk memudahkan pembacaan disini.

______

1. Basmalah

Basmalah (Bismillahirrahmanirrahim): Allah memulakan semua surah di dalam Al-Quran dengan basmalah kecuali Surah Taubah. Ini merupakan satu peringatan bahawa semua ayat Allah yang terkandung di dalam Al-Quran adalah benar dan juga janji-janji kepada hamba-hambaNya. Sunat untuk memulakan setiap amalan dengan basmalah.

Adakah basmalah merupakan satu ayat daripada Surah Al Fatihah?

Para ulama berbeza pendapat. Ulama Maliki dan Hanafi berpendapat basmalah bukan ayat di dalam Surah Al Fatihah. Kecuali pada surah An Naml, yang mengandungi basmalah di tengah surah. Hadis Anas ra : "Aku solat bersama Rasulullah, Abu Bakar, Umar serta Uthman ra, aku tidak pernah dengar mereka membaca: bismillahirrahmanirrahim."

Ulama Hanafi berpendapat: Baca secara berasingan:bismillah... bersama Al Fatihah di dalam setiap rakaat secara perlahan . Basmalah merupakan sebahagian daripada Al-Quran tetapi bukan satu ayat daripada Surah Al Fatihah. Basmalah merupakan tanda membezakan antara surah-surah. Ulama Maliki berpendapat: Tidak dibaca didalam solat sama ada secara perlahan atau kuat, di dalam Al Fatihah atau surah-surah lain.

Ulama Syafie dan Hambali berpendapat basmalah merupakan satu ayat di dalam Surah Al Fatihah. Wajib dibaca, cuma Hambali berpendapat seperti Hanafi: baca dengan perlahan. Ulama Syafie berpendapat, basmalah dibaca perlahan ketika solat 'perlahan' ( zuhur dan asar ), dan dibaca kuat ketika solat 'kuat' ( subuh, maghrib, isya'). Dalil: daripada Abi Hurairah daripada Rasulullah saw, sabdanya: "apabila dibaca 'alhamdulillahirabbil a'lamin', maka bacalah bersama 'bismillahirrahmanirrahim'. Sesungguhnya ia 'ummul Quran', dan 'ummul kitab', dan 'sab'u mathani' ( 7 waqaf), dan 'bismillah...' satu ayat daripadanya". Dalil baca basmalah secara kuat: Ibnu Abbas: Nabi saw membaca 'bismillahirrahmanirrahim' secara kuat.

2. Surah Al Fatihah

Surah Al Fatihah di turunkan di Mekah. Mengandungi 7 ayat. Di turunkan selepas surah Al Muddathir. Mengandungi segala makna-makna Al Quran. Mengandungi usuluddin dan cabang-cabangnya, akidah, ibadah, syariat, beriman dengan hari kebangkitan, dan juga sifat-sifat Allah.

Pendapat ulama mengenai 'amin'

Ulama Hanafi dan Maliki berpendapat, perlahan 'amin' lebih utama daripada nyaring. Kerana ia merupakan doa. Allah berfirman : Berdoa kepada Tuhan dengan merendah diri dan perlahan. - Al a'raf. Berkata Ibnu Mas'ud: Ada 4 perkara yang imam perlu perlahan. 1."a'uzubillah.." 2. Bismillah... 3. "amin" 4. Tahmid ( rabbana lakalhamd)

Ulama Syafie dan Hambali berpendapat baca perlahan pada solat perlahan (zuhur dan asar) dan baca kuat pada solat kuat (subuh, maghrib, isya'). Makmum baca 'amin' bersekali dengan imam. Hadis daripada Abi Hurairah: Apabila imam baca 'amin', hendaklah makmum baca 'amin'.

______

Nanti sambung lain kali pulak. Ini cuma mukadimah sahaja. Itu pun aku langkau-langkau. Masa akan datang aku akan kongsikan pasal 'tafsir wa bayan' Surah Al Fatihah.

Saturday, November 21, 2009

Ada Usaha untuk Musuh Menyelinap Masuk- Dato Tuan Ibrahim


Aku kira peringatan dan nasihat oleh Dato Tuan Ibrahim dalam wawancara dengan SidangOnline ini perlu di ambil berat oleh semua lapisan pimpinan dan ahli PAS. Aku juga mempunyai kerisauan yang sama. Untuk sahabat-sahabat JIK, kena berhati-hati. Mungkin beberapa orang yang kita kenal boleh jadi sebahagian daripada ejen-ejen yang telah menyusup masuk. Biasanya mereka akan berhujah: "Janji buat kerja untuk Islam. Semua sama je." Lepas tu kamu digunakan oleh mereka untuk memecahbelahkan jemaah tanpa kamu sedari. Boleh baca wawancara penuh di sidangonline.net

_______


SO:Selepas PRU 2008 dimana Pakatan Rakyat mendapat sokongan besar rakyat. Apabila berlaku lompatan ahli-ahli daripada parti dalam Pakatan, wakil-wakil rakyat PAS terus utuh dan istiqamah, tidak ada yang melompat. Ini sebenarnya menaikkan lagi imej PAS di mata umum. Malangnya dalam parti pula, berlaku sedikit kekeruhan. Bagaimana Datuk melihat perkara ini?

DTI:Faktor pertama, kekeruhan yang belaku ini dipengaruhi oleh media dan blog. Keduanya, bila isu yang dibangkitkan itu isu berijtihad jadi berbezanya dari sudut pandangan. Contohnya satu pandangan merasakan kalau begini-begini PAS untung, sedangkan pandangan satu lagi merasakan tindakan itu akan merugikan PAS dan Pakatan secara keseluruhan. Jadi saya tengok perbezaan pandangannya di situ.

Cuma saya cukup bimbang dalam konteks parti, saya harapkan supaya ahli-ahli parti tidak cuba mewujudkan kelompok atau kumpulan dalam parti. Kita boleh berbeza pendapat tetapi kita kena menghargai nilai-nilai akhlak jamaah kita kena utamakan nilai-nilai akhlak berjamaah. Kita tegur, kita kritik sahabat kadang-kadang over sangat lebih daripada kita kritik musuh kita.

Apa pun kita kita kena muliakan sahabat mungkin kerana usianya, kedudukannya… jadi perkara-perkara itu perlu kita hargai. Dalam jamaah Islam kita ada etika dan kita terikat dengan adab-adab yang mesti dipatuhi oleh semua ahli parti. Jadi jangan kerana kita tidak bersetuju dengan sekumpulan lalu kita membelakangi akhlak-akhlak berjamaah. Jadi saya fikir mungkin parti juga kena lihat supaya banyakkan majlis-majlis yang bersifat lebih merapatkan ukhuwah, sebagai contoh hidupkan semula mukhaiyam, rehlah, tamrin majlis-majlis zikir qiyamullail dan munajat bagi pimpinan dan keluarga masing-masing supaya kita tidak hanya berjumpa hanya dalam mesyuarat-mesyuarat saja. Sebab saya fikir cabaran masa depan kita pasti akan lebih besar, kelak apabila rakyat bagi mandat nanti itu ujian Allah yang besar. Jadi kalau kita tidak bina kemantapan jiwa yang kuat, ukhuwah jamaah yang tinggi dan toleransi antara pakatan rakyat jadi boleh diambil kesempatan oleh musuh untuk rosakkan Pakatan ini.

SO:Datuk ada menulis menggesa ahli-ahli PAS agar tidak terperangkap dengan agenda musuh. Akhirnya apa nasihat kepada ahli-ahli PAS.

DTI:Saya fikir begini, kita habis masa, tenaga dan wang ringgit kita habiskan kepada isu-isu yang berlaku ini meletihkan kita dalam perjuangan. Kita perlu beri perhatian sekarang ini kepada agenda perubahan iaitu masa depan kita menghadapi PRU 13. Apa persiapan kita? Saya bimbang kadang-kadang kerana kita berbincang dan kritik sama-sama kita, kita gagal memberi tumpuan kepada soal-soal asas pilihan raya ini. Sebagai contoh daftar pemilih, soal pengundi, jentera dan sebagainya. Ini benda-benda asas kalau kita gagal beri perhatian nanti dia akan merosakkan tumpuan kita. Jadi itu yang saya timbulkan ada usaha untuk musuh menyelinap masuk di kalangan kita dan mencampakkan idea dan kita pun penat bergelut sesama kita. Dalam PAS ada dan dalam DAP pun ada. Sebenarnya isu ini isu mereka, perpecahan dalam Umno, MIC, MCA, PPP tapi isunya …. sepatutnya kita tidak habiskan masa yang panjang dalam isu ini.

Mudah-mudahan tidak ada lagi selepas ini kenyataan-kenyataan yang membuatkan ahli kita rasa letih dan kepimpinan kita habis tenaga kepada perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Jadi sebab itu kita tidak punya masa yang panjang.

Thursday, November 19, 2009

Syuhada Memali






Sajak ini adalah karya seni Rahmat Haron, sebuah karya yang membuat jiwa menangis mengenangkan korban-korban jiwa pada syuhada Memali yang menentang penangkapan tanpa bicara.

[Dalam sejarah perjuangan melawan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) Ibrahim Mahmud (yang dikenali dengan nama Ibrahim Libya) dan penduduk kampung Memali adalah antara mereka yang paling berani – dengan keras menentang penahanan tanpa bicara hingga derita raga dan jiwa serta terkorban kehilangan nyawa mereka. Maka pergilah mereka meninggalkan kita sebagai syuhada dan pengorbanan yang cukup besar sekali.]

____

Hari itu Selasa malang,
hari tujuh RabbiulAwwal tahun seribu empat ratus enam hijrah.
setelah malap cahaya lokap,
panjang kembara malam membawa gelap subuh menutup terang matahari, negara, seragam dan senjata mengepung para pejuang yang enggan menyerah, enggan ditahan tanpa kesetaraan, enggan ditangkap tanpa kesaksamaan hak manusia penjara tanpa bicara-warisan tuan penjajah mahu rakyat menjadi hamba.

sejahtera keadilan telah ditelan kebusukan huru hara rasuah. merekalah para pejuang menentang kezaliman haloba, tapi ketamakan kuasa tetap serakah nafsunya mentah kedarah para petani dan buruh mereka para pejuang kebenaran hanya penoreh getah

iya mereka hanya himpunan orang-orang kampung, para guru, merinyu malaria, bekerja sendiri, mekanik motorsikal, pemandu, penoreh getah, tapi mereka setia segar menghidupkan tanah air yang bukan milik mereka.

Tanah dan air yang telah dirompak bebal nasional, tanah dan air yang telah dijual bodoh nasional, Ibrahim Mahmud dan teman-temannya siap teguh iman perjuangan melawan perisai ampuh kekuasaan Iblis_Syaitan_Act - ISA.

ISA adalah jaminan selamat buat penguasa rakus menindas dan memeras penguasa pujanya Iblis kuasa penguasa sembahnya Syaitan rasuah penguasa berkuku besi pelindungnya ISA_Iblis Syaitan Act.

Akta Keselamatan Dalam Negeri, adalah undang-undang yang menyelamatkan para perompak zalim bertopeng alim, Akta Keselamatan Dalam Negeri, adalah undang-undang yang menyelamatkan para perusuh hak asasi rakyat,

Akta Keselamatan Dalam Negeri
adalah undang-undang yang menyelamatkan perasuah dan penyeleweng kuasa
Akta Keselamatan Dalam Negeri
adalah undang-undang yang menyelamatkan kepura-puraan
Akta Keselamatan Dalam Negeri
adalah undang-undang Iblis dan Syaitan,
akur aturan perjanjian sesat mengekalkan kuasa sementara,

Pemerintah ketagihan kuasa
dadahnya wang dan harta
pemimpin khayal dengan serakah
erat sayangnya pada angkuh memaksa
rapat kasihnya pada sombong memeras
begitu dalamnya cinta kuasa memeluk timbunan harta kekayaan rakyat jelata .

ISA gari yang merantai kejujuran,
ISA tembok batu, jeriji besi, memisah kasih anak dan isteri, keluarga tercinta
ISA adalah tangisan
ISA adalah ketakutan

Tapi ISA bagi Ibrahim dan Memali adalah keberanian paling tinggi
perjuangan menolak pemenjaraan tanpa bicara
pengorbanan nyawa demi merdeka
dari menjadi hamba pemerintah yang gila kuasa
dan November adalah bulan cukup hitam, sembilan belas hari bulan tahun sembilan belas lapan puluh lima di Baling, siong kekuasaan Bangsat Nasional laparkan darah rakyat murba
ketabahan para pejuang cukup sabar teguh berdiri,
di balas kereta perisai dan senjata
Memali adalah sejarah melawan ISA
paling berani
merdeka semangat Ibrahim Libya dibalas peluru
gegak gempita tembakan
adalah sendu kesedihan

maka tumpahlah darah ke tanah air yang kegeringan
gugur empat belas orang pejuang
syahid menuntut keadilan
melawan penahanan tanpa bicara

akal penguasa putus budinya
dan dacing timbang berat sebelah tidak seimbang
rasa hati telah kabur, pudar dan terhakis
benang-benang kusut
fikiran hanyut
keyakinan tak dapat dikoyakkan kuasa
merah mengalir darah merdeka
korban ISA dan kekejaman negara
syahid para pejuang terpejam mata dalam sejahtera nafas keadilan
BN merampas kebahagian keluarga, mencabut nyawa suami dan ayah, para perempuan menjanda dan anak-anak yatim tidak berbapa

Memali 24 Tahun


Sudah 24 tahun peristiwa Memali berlalu, namun ia tetap segar dalam ingatan para pejuang Islam. Mereka adalah lambang sekumpulan manusia yang menunaikan janji-janji mereka kepada Allah untuk mempertahankan agama Islam. Darah merah mereka yang membasahi bumi Memali tidak akan sia-sia. Darah mereka adalah obor menyemarakkan semangat jihad para mujahidin.

"dan janganlah engkau menyangka orang yang mati terbunuh di jalan Allah itu mati, akan tetapi mereka hidup dan disisi Allah mereka senantiasa mendapat rezeki"

Ali Imran 169

Al Fatihah untuk syuhada Memali.

Ulang Tahun Ke-5


Hari ini 19 November. Genap 5 tahun. Terlalu banyak untuk di ceritakan. Terlalu sukar untuk diluahkan dengan kata-kata. Biar hati sahaja yang mengerti.

Wednesday, November 18, 2009

Projek Terbaru Aku



Pulang ke kampung halaman menyimpan 1001 perasaan yang tidak dapat digambarkan. Tempat yang tersimpan segala pengalaman pahit dan manis. Beberapa hari di kampung membuatkan aku terfikir apakah aktiviti yang aku akan lakukan. Niat awalnya aku mahu belajar kitab daripada ayah aku. Aku tengok kitab-kitabnya banyak dalam rak buku.

Petang tadi aku suarakan hasratku secara tidak langsung untuk belajar mana-mana kitab. Ayah aku tanya nak belajar kitab apa? Kitab melayu atau arab? Kitab pasal apa? Aqidah? Fekah? Syariah?

Aku tanya: "Tafsir ada tak?"

Ayah mencadangkan Al Tafsir Al Munir fi Al' Aqidah wa al Shari'ah wa al Manhaj, karangan Dr Wahbah Az Zuhaili. Semuanya 16 jilid merangkumi 30 juzu'. Kata Ayah, tafsir ni bagus kerana tafsirannya merangkumi pelbagai skop dan bidang.

Dr Wahbah Az Zuhaili merupakan ulama dan tokoh ilmuan tersohor yang berasal dari Damsyik, Syria. Beliau telah menulis banyak kitab, diantaranya ialah al Fiqh al Islami dan al Fiqh al Islam wa Adilatuhu.

Lebih kurang 5 tahun kebelakangan ni, kebanyakan masa aku dihabiskan untuk belajar buku-buku dari barat di bilik-bilik kuliah. Hanya sesekali memegang buku-buku karangan ilmuan Islam. Kali ini aku boleh menumpukan masa aku untuk belajar kitab-kitab karangan para ulama' Islam. Insya Allah.

Tuesday, November 17, 2009

Isu Penajaan Haji TG Nik Aziz: Perancangan pihak musuh dalam selimut?


Serangan ke atas PAS semakin berterusan. Kali ini Tuan Guru Nik Abdul Aziz diserang dengan isu berkaitan penajaan ibadah haji. Aku nak melihat dari sudut yang lain. UMNO, kita dah tau siapa dia. UMNO musuh yang jelas. Musuh yang terang. Tapi persoalan yang aku nak timbulkan adakah isu ini merupakan sebahagian daripada perancangan yang berterusan daripada musuh-mush yang telah menyelinap masuk ke dalam jemaah untuk menghancurkan jemaah dari dalam serta untuk mendapat keuntungan peribadi.

Kemana puak-puak yang sebelum ini lantang 'mempertahankan' Tuan Guru Nik Abdul Aziz semasa isu Kerajaan Perpaduan?

Kenapa sekarang biarkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz 'terkapai'? Siapakah sebenarnya yang mahu menaja Tuan Guru Nik Abdul Aziz menunaikan haji? Kenapa tidak tampil memberikan sebarang penjelasan untuk membersihkan nama baik Tuan Guru Nik Abdul Aziz?

Adakah ini semua permainan untuk mencipta persepsi yang buruk terhadap ulama'? Sebelum ini lagakan 2 Tuan Guru, Tuan Guru Mursyidul Am dan Tuan Guru Presiden dalam isu kerajaan perpaduan dan EGM. Sekarang tembak terus kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Adakah ini perancangan yang dilakukan oleh agen-agen musuh yang telah menyusup masuk ke dalam jemaah?

Ah, aku teringat kepada Kitab tulisan Syeikh Fathi Yakan, yang telah diterjemah dengan tajuk, ABC Aktiviti Gerakan Islam. Dalam bab Tarbiyah Amaniyyah, Syeikh Fathi telah tuliskan mengenai penyusupan agen-agen musuh ke dalam jemaah Islam. Mereka mencari kedudukan yang strategik dalam jemaah untuk menghancurkan jemaah Islam.

Ataupun aku terlalu banyak berkhayal?

Tuesday, November 10, 2009

Sembang Pagi Dengan Apek


Pagi tadi aku lepak sambil tengok-tengok akhbar kat kedai apek yang aku selalu beli Harakah. Masa tu apek tu sedang baca Sinar Harian. Aku sembang macam biasa la dengan apek tu. Tiba-tiba apek tu tanya:

"Dakwah tu ape ?"

Terkejut sekejap aku. Lepas tu aku citer sket-sket pasal dakwah. Aku bagitau dia secara ringkas dakwah tu bermaksud ajakan ke arah kebaikan. Rupanya apek tu baca berita pasal Dr Asri. Pastu apek tu tanya lagi:

"Wahabi tu ape?"

Melilau otak aku mencari jawapan yang sesuai untuk dibagitau.. Kesimpulannya aku bagitau apek tu Wahabi ni satu fahaman yang banyak di di ikuti di Arab Saudi. Aku citer sket-sket yang aku tau la. Nak citer banyak-banyak aku tak tau la.

Lepas tu apek tu makin rancak bersembang dengan aku. Dia tanya pasal purdah pulak.

"Tutup muka yang ramai perempuan Arab pakai tu, dekat Malaysia kena pakai ke? Kena paksa tak?"

Aku jawab la purdah tu tak paksa pakai. Pastu apek tu cakap macam ni:

"Kita tak lawan Islam. Tapi kena ikut keadaan dan suasana la. Tapi ada gak yang memang tak boleh ikut keadaan, macam sembahyang 5 waktu, mana boleh buat 1 waktu je"

Apek ni citer pasal waqi' la. Citer pasal thabat dan murunah la. Aku angguk je. Apek sambung lagi:

" Yang terbaru bising pasal bukan Islam masuk masjid. Betul ke macam tu? Orang bukan Islam tak boleh masuk masjid? "

Aku menyusun kata dengan berhati2. Aku bagitau apa salahnya jika masuk dengan bersih dan beradab. Otak aku ligat memilih ayat-ayat paling berhikmah. Apek sambung lagi:

" Lain la kalau saya beli babi bawa masuk masjid, itu memang saya cari pasal. Orang Cina nak pegi sembahyang kat Pulau Besar pun, seminggu sebelum pergi tak makan babi"

Kami sembang-sembang tak lama kerana aku nak pegi CC. Best gak sembang ngan apek tu. Lain kali sembang lagi la.

Al Fatihah ( Datuk Saya)

Al Fatihah ( Datuk Saya)