Saturday, September 26, 2009

Ulang Tahun ke 40 OIC


1. Pertubuhan Persidangan Islam atau Organization of the Islamic Conference (OIC) ditubuhkan pada 25 September 1969

2. OIC dianggotai oleh 57 negara seluruh dunia. Ditubuhkan sebagai satu reaksi terhadap tindakan musuh Islam ke atas Masjid Al Aqsa di Jeruselam.

3. Tahun ini, 2009, sudah 40 tahun OIC ditubuhkan.

4. Sekarang ini aku tak nampak pun peranan yang dimainkan oleh OIC mewakili suara umat Islam. Negara2 umat Islam saban hari terus bergolak dan dilanda pelbagai masalah. Deretan nama negara boleh dibariskankan bila berbicara mengenai dunia umat Islam. Di mana peranan OIC? Sekadar bersidang sahaja di dalam bilik berhawa dingin? atau menghasilkan timbunan kertas kerja, yang kemudiannya menjadi kertas kitar semula?

5. Afghanistan;sudah berapa lama umat Islam Afghanistan menderita? Sebelum ini mereka berhadapan dengan Beruang Merah Rusia, dan Alhamdulillah para Mujahidin yang menyahut gendang jihad berjuang dengan gagahnya menumbangkan tentera Beruang Merah sehingga jatuhnya Soviet. Terbaru Amerika Syarikat pula menghujani Afghanistan dengan bertan2 peluru berpandu dengan alasan ingin mencari cuma seorang lelaki, Usamah Ben Laden. Sehingga kini tentera penjajah masih berada di bumi Afghanistan. Mana OIC?

6. Iraq; diserang dengan alasan untuk menghapuskan senjata pemusnah milik Saddam. Penjajahan Amerika di bumi Iraq dibantu oleh negara umat Islam yang meupakan ahli OIC. Sedangkan pada tahun 1978 OIC menerima resolusi untuk tidak membenarkan tentera asing ditempatkan di negara ahli untuk menyerang negara ahli yang lain. Hari ini beberapa negara OIC membenarkan tentera Amerika berada di negara mereka untuk menyerang negara OIC yang lain. Apa peranan OIC?

7. Palestin; sejarah panjang umat Islam yang berdarah. Saban hari umat Palestin dibunuh oleh Israel. Setiap hari ada saja korban rakyat Palestin. Setiap hari bumi Palestin bermandi darah. Setiap hari bumi Palestin diceroboh. Tika Fatah yang sekular terus menjadi barua Israel, Hamas bersendirian membela Palestin. Butakah OIC?

8. Chechen, Mindanao, Pattani, serta sederet lagi negara umat Islam yang dizalimi dan diganasi.

9. OIC sepatutnya punyai suara kolektif untuk menangani permasalah dunia Islam. OIC kena mainkan peranan yang lebih besar. OIC kena lebih 'vocal' memperjuangkan hak negara umat Isam. Perpaduan ahli OIC perlu menjadi agenda besar sebagai asas memperkukuhkan OIC bagi meningkatkan daya desak terhadap barat. OIC perlu diketuai oleh individu yang punyai fikrah Islam dan mampu memimpin OIC ke peringkat lebih baik. OIC jangan jadi pengecut dan bacul, hanya berseminar di hotel 5 bintang, dalam bilik seminar yang berhawa dingin, dengan juadah yang enak sedang darah umat Islam terus bersemburan membasahi bumi.

Monday, September 21, 2009

Aidilfitri untuk mereka


Kita bergembira menyambut Syawal;

Bertemu keluarga yang dirindui: datuk, nenek, ayah, emak, abang, kakak, adik, pakcik, makcik, sepupu...

Menikmati pelbagai juadah enak: ketupat, lemang, rendang, lontong, nasi dagang, nasi tomato, roti jala...

Ziarah menziarahi sesama ummat juga jiran tetangga...

Bergaya dengan pakaian baru...baju baru, seluar baru, kasut baru, telefon bimbit baru

Tapi mereka...



Berita Harian Online Isnin, 21 September 2009

GAZA: Dua pejuang Palestin terbunuh akibat bedilan Israel di Semenanjung Gaza hari ini.

Jurucakap tentera darat Israel berkata, pasukan tentera mensasarkan bedilan mortar dan meriam kereta kebal ke arah dua lelaki berhampiran pagar sempadan di utara Semenanjung Gaza.

Jurucakap itu berkata, askar Israel percaya mereka sedang memasang bahan letupan.

Sementara itu, wakil dua pertubuhan Palestin berkata seorang daripada yang terbunuh adalah anggota Hamas manakala seorang lagi anggota Popular Resistance Committees (PRC).

Petugas hospital pula berkata lelaki ketiga cedera dalam insiden itu.

Ia adalah serangan maut pertama oleh Israel di Gaza dalam tempoh sebulan. - Reuters

Saturday, September 19, 2009

Salam Aidilfitri




Salam Aidilfitri 1430H untuk semua pengunjung Akhtar Syaheed

Jadikan sebulan pentarbiyahan di Madrasah Ramadhan sebagai bekal buat bulan-bulan mendatang.

- Akhtar Syaheed & Amna Mujahidah -

Wednesday, September 16, 2009

Frederic Kanoute






Beberapa minggu lepas aku ada kongsikan sedikit maklumat dalam usrah. Aku ada cerita pasal Frederic Kanoute, seorang pemain bola sepak yang muslim. Ada seorang sahabat berminat untuk tahu lebih lanjut mengenai Kanoute. Jadi aku dedikasikan 'entry' kali ini untuk sahabat.

1. Kanoute telah didenda 3000 euro oleh Persatuan Bola Sepak Sepanyol kerana telah menunjukkan baju t yang bertulis Palestine selepas menjaringkan gol.

2. Bulan Ramadhan tahun ni Kanoute tetap berpuasa walaupun menghadapi perlawanan bola sepak.

3. Kanoute telah membeli sebuah masjid berharga lebih AS$700,000( kira-kira RM 2.3 juta ). Masjid yang terletak di kota Seville, Sepanyol itu hampir dilelong setelah kontrak untuk menggunakan premis itu oleh masyarakat Islam di situ telah tamat. Kira-kira setahun gaji beliau.

4. Kanoute dilihat sering bersembahyang walaupun di bilik persalinan sebelum atau selepas sebuah perlawanan

5. Beberapa tahun lepas Kanoute melakukan kontroversi dengan enggan memakai jersi pasukan FC Sevilla yang ditaja oleh syarikat perjudian. Sebagai balasan, beliau sanggup memakai jersi tersebut dengan syarat kelabnya menyalurkan wang kepada Pertubuhan Amal Islam.

6. Memeluk Islam 10 tahun yang lalu.


Terima Kasih Amna Mujahidah



Terima kasih Amna Mujahidah kerana sudi terima tawaran untuk menulis dalam blog ni.

Terima kasih untuk tulisan sulung, 'offer demi offer'.

Kami nantikan lagi tulisan-tulisan seterusnya untuk blog ni. Moga istiqamah untuk menulis.

Tarbiah Dari Allah


Sabtu lepas aku join satu program dakwah. Aku tolong2 jadi ajk program. Program ni di adakan di tepi pantai. Slot utama malam tu ialah taaruf. Kemudian diteruskan dengan kembara malam. Kembara malam ni dimodulkan dengan pengisian aqidah. Peserta diberikan kes-kes yang melibatkan masalah aqidah untuk di bincangkan di setiap 'check point'. Habis slot kembara malam, peserta tidur, sementara kami ajk buat 'post-mortem'. Baru separuh jalan 'post-mortem' tiba2 hujan turun dengan lebat. Angin laut juga bertiup kuat. Pondok penginapan peserta lelaki turut basah. Kami pindahkan peserta lelaki untuk tidur di dalam kereta. Lepas tu kami saling memandang antara satu sama lain. Tiada lagi tempat yang kering untuk tidur. Semua basah.

Akhirnya, kami bentang tikar atas beranda yang basah. Dalam keadaan hujan yang mencurah-curah, kami lelapkan mata. Terasa titis2 air hujan di muka. Pakaian yang dipakai semua basah lencun. Akhirnya aku tertidur dalam kebasahan.

Aku bangun untuk bersahur dalam keadaan basah.

Tarbiah dari Allah. Baru hujan air. Bukannya hujan peluru macam mujahidin di medan jihad. Baru hujan air. Bukan hujan darah semacam para syuhada tika syahid. Paling kurang aku ada gak alami sedikit tarbiah dari Allah walaupun amat jauh untuk dibandingkan dengan para pejuang agama Allah.

Friday, September 11, 2009

OFFER DEMI OFFER……..


Salam sahabat2 pembaca….

Alhamdulillah….aku diberi offer oleh seorang sahabat utk turut sama menulis dalam blog ini. Walaupun dia tahu aku tidak pandai menulis, tidak ada seni namun dipelawanya juga aku untuk sama2 menulis, memberi idea dan bercerita dalam blognya… Apapun, aku akan cuba setakat yang termampu.

Berbicara mengenai offer, tiba2 aku teringat satu peristiwa sewaktu berjalan2 di Pekan Tampin. Satu pekan yang menghubungkan antara Melaka dan utara Negeri Sembilan, yang pastinya sentiasa sibuk dengan berbagai aktiviti urusniaga. Di tambah pula dengan hari lebaran yang bakal menjelma, pastinya berbagai offer yang ditawarkan oleh peniaga. Mataku seakan tertarik melihat satu gerai yang menjual biskut serta kuih-muih raya. “hmmm..patut la, ada offer rupanya”, bisik hatiku. Memang agak murah biskut yang ditawarkan di situ, menyebabkan agak sukar untuk aku membuat pilihan. Alhamdulillah…jumpa jugak akhirnya.. Sewaktu di kaunter pembayaran, sempat lagi aku tawar-menawar dengan penjual tersebut walaupun aku tahu bahawa biskut tersebut memang dah murah… Setelah berlakunya tawar-menawar, akhirnya…..aku yang menang walaupun bezanya hanya RM 1…

Hmm..nilah manusia, tak penah cukup dengan apa yang ada… “Bagi betis nak paha , begitulah sebaliknya”. Di kesempatan yang ada, sempena bulan baik, marilah kita sama2 merebut offer yang telah Allah SWT tawarkan kepada ummatNya untuk kita sama2 gandakan amal ibadat supaya kita mendapat pahala yang berganda2 banyaknya.. Wallahu’alam… Salam ukhwah….

Cerpen Revolusi Versailles


Aku masukkan cerpen ni sebagai memenuhi permintaan Lebai Awang. Gambar tu adalah Ghafirah Idris, penulis cerpen ni. Cerpen ni pernah disiarkan dalam Berita Minggu 23 Mei 2004.

******

Tudung Turki tenunan sutera yang kau hadiahi padaku kala pemergianmu melanjutkan pelajaran ke bumi Jordan kini menutupi rambut perangku, Uzair. Sudah kutinggalkan jeans dan blaus sendat yang pernah menjadi pakaian harianku suatu ketika dahulu. Jilbab dan hijab kini melabuhi tubuhku. Kiranya kau masih ingat, aku pernah berkata bahawa pakaian yang sedang kupakai hari ini hanyalah pakaian tradisi masyarakat Arab. Jumud dan kolot! Lalu aku tidak pernah mengakui hijab merupakan suruhan Allah dan kewajipan mutlak atas kaum wanita. Ah! Aku terlalu ego ketika itu. Lantas aku terpempan hina dek kejahilan sendiri.


Aku mengutusi marsum maya ini dari Paris, tanah kelahiran babaku. Ya! Aku kini tidak lagi berjejak di bumi Malaysia yang pernah menemukan kau dan aku. Aku pulang ke sini bersama baba dan mamaku sekitar Disember lepas. Ya! Ketika itu Perancis digegarkan dengan pernyataan Presiden Perancis, Jacques Chirac pada 17 Disember untuk menyokong pengharaman tudung ke atas pelajar-pelajar seluruh institusi pendidikan di Perancis. Maaf! Terlalu lama tidak mengutusi khabar buatmu hatta aku sudah hampir 5 purnama di sini. Hubungan kita kian renggang sejak kau ke Jordan. Aku tidak tahu mengapa. Mungkin kau terlalu makan hati dengan sikap egoku dulu atau seboleh-bolehnya kau mahu melupakan gadis ini terus. Ah! Maafkan aku, Uzair.


Kau tentu kehairanan bagaimana mamaku bisa bersetuju untuk berhijrah ke sini. Datuk dan nenekku meninggal dalam kecelakaan jalan raya Aidilfitri lepas. Lalu mamaku yang merupakan anak tunggal terpaksa akur dengan keputusan baba untuk pulang ke Paris. Kau tahu, Uzair. Aku menangis semahu-mahunya saat kali terakhir aku mendatangi Pantai Cahaya Bulan sebelum aku berangkat meninggalkan Malaysia. Ya! Butiran pasir dan desiran ombak di pantai indah nian itu saksi pertemuan kau dan aku. Kala itu kau sedang asyik merakam keindahan alam ciptaan Tuhan melalui lensa kameramu hinggalah tiba-tiba kehangatan terik mentari menyerap segala tenagaku dan aku jatuh pengsan hampir denganmu. Lalu pertemuan tidak terduga itu membuahkan bibit-bibit manis dalam kamus hidupku dan kita semakin akrab selepas itu.


Aku jadi kaget saat kau mula bersuara tentang hijab, jilbab dan aurat. Kau memintaku meninggalkan jeans, blaus sendat dan skirt pendek yang sememangnya sudah menjadi pakaian harianku sedari kecil. Tidak cukup dengan itu, kau hadiahiku sehelai tudung Turki tenunan sutera dan sehelai jilbab merah hati kala ulangtahun kelahiranku yang ke-26. Ya! Tudung Turki itu yang sedang menutupi rambut perangku hari ini, Uzair.


“Kau tiada hak untuk mengubah cara hidup dan pendirianku! Hatta baba dan mama jua tidak pernah menegurku, inikan pula kau yang begitu asing!” Kata-kata itu pernah meluncur laju dari bibirku dan air matamu begitu murah mengalir untukku hari itu. Ah! Maafkan aku Uzair. Maafkanku kerna suatu masa dulu aku begitu jahil. Terlalu!.


Di tengah-tengah bahang kehangatan pengharaman tudung oleh kerajaan Perancis ke atas pelajar-pelajar di seluruh institusi pendidikan di Perancis, aku kini sibuk menulis liputan tentang isu ini di majalah Le Monde terbitan syarikat babaku. Usah kau kehairanan. Aku kini giat menyertai perarakan demostrasi jalanan bersama rakan-rakan Muslim dan Muslimahku, membantah keputusan Presiden Perancis, Jacques Chirac yang menyokong larangan kerajaan terhadap pemakaian tudung di institusi pendidikan seluruh Perancis. 22 Disember lepas, hampir 3000 masyarakat Islam di sini menyertai perarakan membantah pengharaman tudung ini.


Bersama marsum maya ini kuutusi gambar maya diriku dan sahabatku, Taqwa. Taqwa Djamila, seorang perawan manis dari bumi Isra’ Mikraj. Taqwa merupakan koresponden Majalah Jihad di Palestin, membuat liputan tentang isu pengharaman tudung di Perancis. Dialah yang mengubah Fatima Boicha yang agresif dan prejudis terhadap Islam hingga menjadi Fatima Boicha yang sedang berbicara denganmu lewat marsum maya ini. Aku bersyukur ketemu dirinya, Uzair. Dia merupakan anugerah terindah dalam hidupku selepas dirimu.


Aku dan Taqwa berkenalan di perkarangan Chateau De Versailles, Istana Versailles. Kala itu aku datang berlibur menyaksikan keindahan kota Versailles dan Taqwa mencari bahan untuk majalahnya. Sungguh! Versailles sebuah istana nan indah dan mewah. Istana ini menjadi kebanggaan Perancis dan Versailles menjadi pusat pemerintahan Perancis kala pemerintahan Louis XVI. Namun sistem monarki Perancis berakhir ketika Revolusi Perancis pada Oktober 1789 apabila Louis XVI dan isterinya Marie-Antoinette terpaksa tunduk kepada kemarahan orang awam yang melarat.


Taqwa membuka mata hatiku merenung nasib saudara-saudara seaqidah yang disembelih di bumi Quds. Dia bercerita padaku tentang penderitaan keluarganya di Ramallah. Dia berkisah tentang kekejaman Zionis dan Yahudi. Dia menyedarkan aku tentang kelemahan umat Islam. Dia membangkitkan imanku dengan semangat jihad dan perjuangannya. Lalu dia mahu aku sama-sama bersuara menentang penindasan yang berlaku terhadap umat Islam di Perancis, bumi yang sedang kuhuni ini.


Taqwa mula mengejutkan nubari Islamku yang sudah lama kantuk. Katanya, umat Islam tidak sudah-sudah dizalimi. Andai kita masih takut untuk mempertahankan aqidah dan syariat Islam, maka siapa lagi yang harus diharapkan. Aku lihat sinar juang di matanya, Uzair. Aku lihat semangat kesungguhannya mengajakku kembali menuju landasan mustaqim. Aku nampak sinar keikhlasan di matanya. Ya! Sinar yang serupa yang hadir di tubir matamu saat kau menyuarakan hasratmu supaya aku melabuhi hijab dan jilbab ke tubuh perawanku dulu. Sungguh! Aku terpesona dengan semangat kental dan tekad gadis Quds ini. Lalu hidayah Allah kian mercup gemilang setelah acap kali aku dan Taqwa ketemu.


Versailles pernah mengalami revolusi dek kemarahan rakyat yang melarat. Kukira revolusi itu sedang berlaku kini, kala Jacques Chirac berdegil dengan keputusannya mengharamkan tudung. Aku dan Taqwa menyertai satu lagi perarakan demostrasi baru-baru ini. Kerajaan Perancis merancang untuk melaksanakan undang-undang berkenaan bermula sessi persekolahan 2004-2005 bagi memisahkan agama dari sekolah-sekolah kerajaan yang berbentuk sekular. Kami berarak dari Place de La Republique ke Place de La Nation sambil membawa kain-kain rentang dan menyebarkan risalah-risalah kepada masyarakat Perancis. “Sekularisme memalukan”. “Bertudung adalah pilihan kami”. “Sekolah adalah hak saya. Tudung adalah pilihan saya, Perancis adalah tempat perlindungan saya.”


Semangat sahabat-sahabatku di sini yang menguatkan iltizamku untuk terus mempertahankan pakaianku hari ini. Malah suara-suara lantang mereka jualah yang terus menutup pintu hatiku untuk berpaling pada dunia kebaratan yang pernah mencengkam iktikadku selama ini. Tubuhku tidakkan lagi kupamerkan, Uzair. Akan kukuburkan kata-kataku bahawa tudung itu warisan masyarakat Arab yang kolot, lapuk dan kuno. Akan kupertahankan hijab dan jilbab ini. Aku dan sahabat-sahabat akan melakukan revolusi, Uzair! Kami akan mencabar rang undang-undang yang telah diluluskan kerajaan Perancis itu. Dengan sokongan Persatuan Masyarakat Islam di sini, kami akan membawa kes ini ke Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah. Kukira kerajaan Perancis tidak pernah lupa bahawa Perkara 9 Konvensyen Hak Asasi Manusia Eropah menekankan kebebasan mengamalkan ajaran agama atau sesuatu kepercayaan. Malah Dr. Yusuf Qardhawi dan Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah juga sudah menggesa Perancis supaya mengubah pendirian mereka dan memutuskan akan menghantar delegasi ke Paris dengan diketuai oleh bekas Menteri Kehakiman Mauritania, Abdullah bin Baya.


Semalam, pejabat majalah Le Monde digeledah pihak berkuasa. Tulisanku dalam Le Monde ternyata membangkitkan amarah mereka. “Toleransi sudah berakhir dan larangan sudah bermula. Sungguh tidak logik apabila undang-undang Perancis membenarkan wanita memakai skirt pendek, menunjukkan buah dada dan melakukan kemungkaran tetapi pada masa yang sama melarang mereka menutup kepala. Menutup kepala adalah salah tetapi menunjukkan buah dada dan pangkal paha tidak melanggar undang-undang.”


Mereka terus memanipulasi. Semalam, anak jiranku direntap tudungnya lalu dihalau keluar dari kuliah. Dia diberi pilihan sama ada mahu meneruskan pengajian dengan melupakan tudung atau disingkir terus dari kolej. Sungguh! Aku mengkagumi tekad gadis remaja ini. Walau kehidupan rencam di bumi Perancis kian menekan pelajar-pelajar Muslimah di sini, dia sanggup mempertahankan maruah Islam dan harga diri seorang wanita Muslimah lalu melupakan hasratnya untuk mengenggam segulung ijazah. Ah! Kala itu naluriku dihantuk rasa keharuan. Gadis Muslimah nan genit ini ternyata lebih bijak menimbang antara hak dan batil berbanding diriku dulu yang gagal pada piawai duniawi. Aku malu, Uzair. Terlalu malu!


Aku dan Taqwa sedang merancang satu lagi demostrasi jalanan, Uzair. Kali ini yang terbesar. Taqwa sudah pun menghubungi rakan-rakannya di Palestin untuk sama-sama bergabung dalam perarakan kali ini. Akan kami tunjukkan pada dunia, Muslimah Islam bukanlah golongan yang lemah. Tiada siapa pun antara kami yang akan membuka tudung demi memuaskan nafsu serakah kafirun. Walaupun 69% rakyat Perancis dalam suatu pungutan pendapat yang dikendalikan oleh akhbar Le Parisien menyokong tindakan Chirac ini, namun kami, lima juta rakyat beragama Islam yang mewakili 8% penduduk Perancis tidakkan sekali-kali tunduk pada arahan ini.


Versailles bakal menyaksikan suatu lagi revolusi besar. Kami akan berkumpul di sana, tempat pertemuan pertama aku dan Taqwa. Kami akan bergerak beramai-ramai ke Eiffel Tower, menara kebanggaan Paris sejauh 25 kilometer dengan menaiki Metro. Andai dewan di Istana Versailles ini pernah menyaksikan negarawan-negarawan agung dunia menandatangani perjanjian tamatnya Perang Dunia Pertama pada 28 Jun 1919, kami akan sama-sama mengumpul tanda tangan seluruh masyarakat Perancis membantah pengharaman tudung ini. Keadilan dan hak asasi manusia harus dikembalikan. Sudah tiba masanya masyarakat Islam bangun mempertahankan kesucian Islam. Doakan kami ya, Uzair. Semoga apa yang aku dan Taqwa serta sahabat-sahabatku rancangkan akan direstui dan senantiasa di bawah lembayung Rahmat dan Maghfirah-Nya.


Aku sudah mampu tersenyum kini, Uzair. Benar katamu, Muslimah itu bukan ortodoks. Bukan fundamentalis. Bukan pengganas. Aku kini bernafas dalam rongga iman dan kesyumulan Islam. Aku yakin bahawa hijab ini suatu tuntutan Islam yang ingin menjaga maruah Muslimah dan mengembalikan taraf wanita ke tempat a’la.


“They say…Oh poor girl, you’re so beautiful you know. It’s a shame that you cover up your beauty so. She just smiles and graciously responds reassuringly. This beauty that I have is just one simple part of me. This body that I have, no stranger has the right to see. These long clothes, this shawl I wear, ensure my modesty. Faith is more essential than fashion. This hijab…This mark of piety. Is an act of faith, a symbol for all the world to see. A simple cloth to protect my dignity. So lift the veil from your heart…to see the heart of purity.” ( The Veil, Dawud Wharnsby Ali. 1999 )

Sahabatmu,

Fatima Boicha.


Nukilan :

Ghafirah Idris

18 Februari 2004

Perlis.

Sunday, September 6, 2009

Kapitalism vs Islam


Beberapa hari lepas aku mengikuti satu syarahan oleh seorang profesor madya sebuah universiti dalam satu sesi 'pecah otak'. Satu ucapan yang sangat menarik dan ada kontroversinya. Aku salin secara terus catatan conteng aku ke dalam blog ni. Setiap point ni boleh dibaca secara berasingan atau boleh juga secara berkaitan. Atau boleh juga dua-dua.

1. Kapitalism mendominasi barat dan sosialism mendominasi timur. Islam adalah Islam, bukan barat bukan timur. Islam mempunyai prinsip yang terbaik dalam ekonomi : Allah menghalalkan jualbeli dan mengharamkan riba. Kapitalis tiada prinsip ini. Masalah ekonomi pada hari ini disebabkan oleh kapitalis. Kapitalis ada kaitan dengan kolonial. Perniagaan adalah satu penjajahan. Boleh baca balik sejarah Syarikat Hindia Timur.

2. Kapitalis bermaksud modal atau kaum pemodal. Modal yang besar akan dapat untung yang besar. Untung itu akan ditambah pada modal untuk membesarkan lagi modal. Darwinism: Yang kuat akan menang, yang lemah akan kalah.Islam juga memerlukan modal tetapi bukan 'ism'. Menurut Islam, perniagaan adalah ibadah. Berniaga bukan untuk keuntungan semata-mata tetapi juga khidmat kepada masyarakat. Sedangkan Kapitalis tidak begitu. Tiada amanah dalam kapitalis.

3. Kapitalis akan buat apa sahaja untuk capai matlamat. Kat Amerika ada satu bank yahudi. Bank ni dah beroperasi ratusan tahun. Pada akhir pemerintahan Bush, bank ni bankrup. Persoalannya betul2 bankrup atau buat-buat bankrup. Ini permainan kapitalis. Mereka pindahkan duit lepas tu bgtau bankrup. Kerajaan Bush 'bail-out' bank ni. Kerajaan 'bail-out' pakai duit siapa? Duit rakyat la. Alasannya bank ni dah banyak berjasa pada kerajaan. Kapitalis dapat duit free je. Bank tu pindahkan duit ke mana? Palestin? Membiayai operasi Israel? Ada kemungkinan.

4. Sosialism di Timur. Katanya kesamarataan untuk semua. Padahal pemimpin sama kaya, rakyat sama miskin. Adil ke? Inilah akibat jika sistem tidak bertunjangkan tauhid. Sistem tu akan pincang. Otak manusia tak akan dapat memikirkan yang terbaik. Allah merupakan sebaik-baik pengatur sistem. Allah yang cipta kita jadi Allah lebih tau baik buruk untuk kita. Pada tahun awal 1960-an ramai pelajar Universiti Malaya berparadigm sosialism.

5. Negara kita jadikan sistem yang dicipta oleh manusia sebagai asas, bukannya sistem ciptaan Allah. Bank-bank dalam negara kita semuanya tidak guna sistem Islam. Bank Islam? Bank Islam dibina di atas dasar yang sama dan menggunakan akta yang sama. Sebagai analogi. Ada sepohon pokok. Akarnya dapat baja kapitalis. Pokok ada banyak ranting. Ranting tu keluarkan buah. Buahnya bank-bank sekular. Pada satu dahan, dicantumkan satu ranting baru. Ranting Bank Islam.

6. Bank-bank milik orang Islam ada dua kaunter. Ada kaunter haram ada kaunter halal. Ambil analogi ni. Ada seorang Pak Aji, buka gerai jual ayam. Gerai Pak Aji ada dua bahagian, 1 jual daging yang disembelih(halal) , 1 lagi jual ayam yang dipatahkan leher(haram). kalau orang kafir yang buat macam tu, boleh la dikonsider.

7. "Attaajirul amin", pedagang yang amanah, bukan sekadar berdagang tapi tonjolkan nilai-nilai Islam dalam perniagaan. Amalan bisnes menurut cara Islam telah mempengaruhi penduduk Melaka suatu ketika dulu untuk memeluk Islam.

8. Menurut Ibnu Khaldun, Kerajaan tak boleh berniaga dengan rakyat. Contohnya, Lebuhraya KL-Seremban, asalnya 2 lorong, dibina dengan duit rakyat. Tiba-tiba bagi kat PLUS yang kerajaan ada kepentingan, PLUS tambah 1 lorong kemudian caj 10sen/km. Sedangkan asalnya dibina dengan duit rakyat. 2 lorong duit rakyat 1 lorong je duit PLUS. Plus caj 3 sen jelah, baru adil. lainlah jika kerajaan nak bina jalan Gua Musang- cameron, pastu tenderkan kat satu syarikat, syarikat tu mulakan kerja dari awal pembinaan lagi, baru la boleh caj 10sen/km.

9. Putrajaya bukan milik kerajaan. Kerajaan sewa dari syarikat Putrajaya Holding. Tiap2 bulan bayar sewa kat Putrajaya Holding. Kerajaan ada kepentingan dalam Putrajaya Holding.

10. Amerika pada zaman Reagan jadi presiden pernah alami krisis ekonomi. Lepas tu Reagan berjaya atasi masalah tersebut. Bila ditanya pada Reagan, macam mana cara atasi masalah tu. Reagan jawab: "Saya guna kaedah lama, kaedah Caldan". Sape Caldan? Ibnu Khaldun la.

11. Penasihat tak rasmi ekonomi Malaysia suatu ketika dulu orang Yahudi, Solomon Burney. Dia ni sedara George Soros.

Banyak lagi point. Aku sambung lain kali pulak.

Friday, September 4, 2009

Mengenang Marwa As Sharbini


Ada seseorang minta aku tulis pasal Marwa Sharbini.

Katanya umat sekarang kurang kesedaran mengenai permasalahan umat Islam. Ada yang tak tahu langsung pasal Marwa. Ada yang tahu pun buat-buat tak tahu je. Media massa hanya melaporkan sedikit sahaja berita mengenai Marwa. Pada masa yang sama kematian penyanyi pop. Michael Jackson mendapat liputan meluas dari media massa. Lagu-lagu MJ disiarkan dalam hampir semua stesen radio tempatan. Tv lebih lagi la, siap ada rancangan khas untuk MJ. Ramai yang menyatakan kesedihan terhadap pemergian raja pop itu, mengalahkan kematian ahli kelurga sendiri.

Sedangkan darah umat Islam terus merembes membasahi bumi, menambah takungan darah-darah umat Islam lainya yang berterusan dizalimi dan dibantai di seluruh pelusuk dunia.

Marwa Sharbini.

Seorang ibu anak satu.

Sedang mengandung 3 bulan.

Maut akibat ditikam sebanyak 18 kali oleh pemuda Jerman keturunan Rusia yang anti Islam dan anti Muslim.

Marwa ditikam di dalam kamar perbicaraan sebuah Mahkamah.

Suami Marwa cuba menyelamatkan Marwa, tetapi cedera parah ditembak oleh pegawai keselamatan, kononnya tidak sengaja.

Marwa ketika itu sedang menghadiri perbicaraan seorang pemuda yang bernama Alex, yang menggelarnya "pengganas" kerana memakai tudung. Alex pernah menyerang Marwa sebelumnya dan mencuba untuk menanggalkan tudung yang dipakai Marwa.

Selamat jalan Marwa...darahmu yang membasahi bumi takkan sia-sia...

Arak Kepala Lembu...


Lepas solat Jumaat tadi aku baca suratkhabar Harakah yang aku beli sebelum Jumaat tadi kat kedai Apek tepi kedai gambar dekat ngan kedai 4D. Kat muka depan citer pasal demontrasi mengarak kepala lembu yang masih berdarah selepas solat Jumaat minggu lepas kat Shah Alam yang dikatakan dilakukan oleh penduduk seksyen 23 Shah Alam sebagai membantah pembinaan kuil Hindu. Cerita mengarak kepala lembu ni boleh baca gak dalam Harakahdaily.

Aku tertarik dengan ulasan mengenai gambar diatas oleh seorang blogger yang aku minat, Pipiyapong, dalam blog beliau Hilang Punca.

"Brader-brader yang dressing smart, pakai kemeja, seluar slek kain lembut, pakai songkok, pakai kopiah, rambut potong 3 minggu sekali, hari jumaat potong kuku, anak periksa dapat nombor satu, ada rumah sendiri, ada geran kereta di bank, hari raya shopping kat Jalan TAR bersama keluarga, lalu roadblock polis tak minat nak tahan, ada orang gaji, mesyuarat PIBG tak pernah miss, hujung minggu basuh kereta, cuti-cuti malaysia, sakit sikit pergi klinik, tunggu surat tabung haji dan memiliki otak udang."

Al Fatihah ( Datuk Saya)

Al Fatihah ( Datuk Saya)